Sindiket scam di India tumpas: 72 rakyat Malaysia diselamatkan

Aktiviti sindiket itu terbongkar selepas salah seorang mangsa yang merupakan warga Malaysia berjaya melarikan diri. - Foto Agensi
Aktiviti sindiket itu terbongkar selepas salah seorang mangsa yang merupakan warga Malaysia berjaya melarikan diri. - Foto Agensi
A
A
A

NEW DELHI – Polis India menumpaskan satu sindiket pemerdagangan manusia dan penipuan siber antarabangsa selepas menyelamatkan 164 warga asing termasuk 72 rakyat Malaysia yang dipaksa menjalankan kegiatan penipuan dalam talian di negara itu.

Operasi yang dijalankan oleh Cawangan Jenayah Polis Delhi di Noida berhampiran ibu kota turut menyelamatkan 92 warga Indonesia yang dikurung di premis berkenaan. Bagaimanapun, polis pada Sabtu memaklumkan sembilan lagi warga asing terdiri daripada enam rakyat Malaysia dan tiga warga Indonesia masih hilang.

Pihak berkuasa turut merampas 549 peranti digital termasuk 355 telefon bimbit, 168 komputer meja dan 26 komputer riba selain 174 pasport serta 53 kad SIM.

Siasatan awal mendapati kesemua mangsa dipercayai dibawa ke India sejak beberapa bulan lalu selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan bergaji lumayan dan peluang kerjaya menarik.

Siasatan awal mendapati sindiket scam itu menggunakan laman web dan aplikasi berasaskan fail Android Package Kit (APK) yang menawarkan pulangan pelaburan tinggi. Anggota sindiket itu juga didakwa mewujudkan identiti wanita palsu di media sosial untuk mendekati sasaran, membina hubungan dan mendapatkan kepercayaan sebelum memujuk mereka melabur.

Seorang lelaki warga Malaysia berusia 25 tahun, Tan Guan Wei, ditahan kerana disyaki mengendalikan operasi sindiket berkenaan bagi pihak dua lelaki warga tempatan, Sunil Kumar dan Sushil Bhati yang masih diburu pihak polis.

Difahamkan, siasatan turut memberi tumpuan kepada akaun bank yang dipercayai digunakan untuk membiayai sewaan premis dan operasi sindiket berkenaan.

Sementara itu, 164 mangsa yang diselamatkan telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi urusan penghantaran pulang ke negara masing-masing. Polis turut bekerjasama dengan kedutaan Indonesia dan Malaysia bagi mengesan sembilan individu yang hilang jejak.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek lain, menjejaki aliran wang dan membongkar keseluruhan rangkaian penipuan dan pemerdagangan manusia itu.

Artikel Berkaitan:

Pada Julai lalu, pihak berkuasa Lucknow menahan 119 individu selepas menyerbu sebuah pusat panggilan antarabangsa palsu yang menyasarkan warga Amerika Syarikat (AS). - Agensi

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!