MCMC saman Google RM600 juta, babit kandungan memudaratkan di YouTube

MCMC memulakan dua tindakan mahkamah terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta.
MCMC memulakan dua tindakan mahkamah terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta.
A
A
A

CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan dua tindakan mahkamah terhadap Google LLC (Google) dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan dalam talian yang memudaratkan di YouTube.

MCMC dalam kenyataan pada Rabu berkata, kedua-dua kes tersebut melibatkan perkara berbeza dan berkaitan dakwaan kegagalan Google mematuhi kewajipan di bawah undang-undang serta syarat lesen yang terpakai.

“Bagi setiap saman, MCMC menuntut ganti rugi sebanyak RM300 juta yang merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk (aggravated damages) dan RM100 juta ganti rugi teladan (exemplary damages).

“Tuntutan ganti rugi ini bertujuan mendapatkan pampasan atas penggunaan sumber dan tenaga kerja yang besar dalam menangani lebih daripada 50,000 kandungan dalam talian yang memudaratkan susulan kegagalan sistemik Google, di samping menyokong usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat,” katanya.

MCMC berkata, tuntutan tersebut turut mengambil kira sifat dan kesan pelanggaran yang didakwa serta keperluan untuk memastikan Google dipertanggungjawabkan dan mencegah ketidakpatuhan sama daripada berulang.

Menurutnya, saman pertama melibatkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap ribuan kandungan dalam talian yang memudaratkan termasuk perjudian dalam talian, scam dan penipuan.

Ujarnya, tuntutan MCMC dalam kes tersebut adalah berasaskan pelbagai dakwaan pelanggaran peruntukan undang-undang, syarat lesen yang berkaitan serta kecuaian.

“Dalam tempoh 1 Januari hingga 28 Oktober 2026, MCMC telah mengemukakan sebanyak 74,703 laporan kepada YouTube, dengan 74,569 daripadanya (99.8 peratus) berkaitan perjudian dalam talian.

“Daripada jumlah laporan berkaitan perjudian dalam talian tersebut, sebanyak 32,781 menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan daripada platform dalam tempoh satu hari, manakala 4,950 laporan tidak menerima sebarang maklum balas,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

MCMC memaklumkan, sebanyak 35 laporan mengambil masa lebih daripada 90 hari untuk menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandunga manakala 1,468 laporan mengambil masa lebih daripada 30 hari dari tarikh laporan dikemukakan.

“Angka-angka ini menunjukkan skala penyebaran kandungan yang memudaratkan di platform berkenaan serta kelewatan dalam menangani kandungan terbabit.

“Saman kedua pula melibatkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah-langkah statutori dan proaktif yang sewajarnya berhubung penerbitan semula pelbagai kandungan yang melanggar undang-undang di YouTube oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris yang juga dikenali sebagai Papagomo.

“Kandungan tersebut kini tertakluk kepada injunksi interim yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun 2026,” jelasnya.

MCMC menegaskan bahawa semua penyedia platform media sosial yang tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 perlu mematuhi segala kewajipan di bawah undang-undang serta syarat lesen masing-masing.

“Memandangkan ini bukan kes sivil pertama yang dibawa oleh MCMC terhadap syarikat media sosial utama berhubung pelanggaran seumpamanya, MCMC menggesa semua penyedia platform supaya mengambil langkah sewajarnya untuk menangani kandungan yang melanggar undang-undang dan memudaratkan di platform masing-masing.

“Kedua-dua saman ini merupakan usaha berterusan MCMC untuk melindungi orang awam khususnya kanak-kanak daripada ancaman dalam talian, di samping menangani penyebaran berterusan kandungan yang telah menjadi subjek tindakan pengawalseliaan dan campur tangan mahkamah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!