Kerugian scam RM19.7 bilion, MCMC perkukuh benteng siber negara

Fahmi yang diiringi Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (kiri), menyempurnakan gimik perasmian NEXSEC2026 di MITEC pada Rabu. Foto: ROSLI TALIB
Fahmi yang diiringi Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (kiri), menyempurnakan gimik perasmian NEXSEC2026 di MITEC pada Rabu. Foto: ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anggaran kerugian akibat penipuan di Malaysia yang mencecah RM19.7 bilion dalam tempoh setahun memperlihatkan keperluan untuk memperkukuh usaha pencegahan dan perlindungan rakyat daripada ancaman digital.

Usaha ke arah itu diperkasakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi penganjuran NEXSEC2026 yang memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan operasi, kerjasama strategik, inovasi teknologi dan pembangunan bakat.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha kerajaan khususnya MCMC dengan kerjasama syarikat telekomunikasi telah menyumbang kepada pengurangan beberapa bentuk penipuan termasuk pemalsuan identiti pemanggil (call spoofing).

“Walaupun kita telah mengambil beberapa langkah, namun penjenayah sudah pasti akan mencari jalan baharu.

“Sudah tentu menjadi satu keutamaan untuk pihak MCMC bekerjasama dengan badan-badan seperti Global Anti-Scam Alliance (GASA) bagi mengenal pasti langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan melindungi rakyat Malaysia daripada jenayah scam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan NEXSEC2026 yang bertemakan ‘Memperkukuh Daya Tahan Siber Menerusi Kerjasama, Inovasi dan Bakat’ di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, Fahmi turut menerima laporan rasmi GASA yang mengandungi anggaran kerugian akibat penipuan di Malaysia dalam tempoh setahun berkenaan.

Wakil GASA menyerahkan 'State of Scams Report 2026' kepada Fahmi (depan, kiri) pada majlis perasmian NEXSEC2026. Foto: ROSLI TALIB
Wakil GASA menyerahkan 'State of Scams Report 2026' kepada Fahmi (depan, kiri) pada majlis perasmian NEXSEC2026. Foto: ROSLI TALIB

Artikel Berkaitan:

Fahmi turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MCMC dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Kerjasama itu bertujuan mempertingkat perkongsian maklumat mengenai ancaman siber, penyelarasan tindak balas serta pembangunan keupayaan antara kedua-dua agensi selaras dengan fungsi dan bidang kuasa masing-masing.

Mohamad Salim (depan, kiri) bertukar dokumen MoU dengan Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir Megat Zuhairy Megat Tajuddin, sempena majlis perasmian NEXSEC2026. Foto: ROSLI TALIB
Mohamad Salim (depan, kiri) bertukar dokumen MoU dengan Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir Megat Zuhairy Megat Tajuddin, sempena majlis perasmian NEXSEC2026. Foto: ROSLI TALIB

NEXSEC2026 yang berlangsung selama dua hari menghimpunkan lebih 1,500 peserta termasuk wakil kerajaan, agensi keselamatan, industri, institusi pengajian tinggi serta negara anggota ASEAN.

Kesiapsiagaan hadapi ancaman siber

Dalam pada itu, Fahmi turut menekankan keperluan Malaysia meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi perkembangan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum bagi memastikan keselamatan infrastruktur digital negara terus terpelihara.

Beliau turut berharap penganjuran NEXSEC2026 dapat meningkatkan kesedaran umum selain memberi peluang kepada pelajar untuk mengasah bakat dalam bidang keselamatan siber bersama pihak industri.

Fahmi (dua dari kiri) melawat reruai pameran selepas merasmikan NEXSEC2026. Foto: ROSLI TALIB
Fahmi (dua dari kiri) melawat reruai pameran selepas merasmikan NEXSEC2026. Foto: ROSLI TALIB

NEXSEC2026 menampilkan empat pengisian utama sepanjang penganjurannya, merangkumi pertandingan, simposium, pameran dan sesi perbincangan meja bulat.

Migrasi kriptografi pascakuantum

Sementara itu, Pengarah Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM), Profesor Datuk Dr Muhammad Rezal Kamel Ariffin berkata, Malaysia perlu mengenal pasti penggunaan kriptografi dalam keseluruhan ekosistem digital negara.

Menurutnya, kriptografi merupakan antara elemen asas teknologi bagi memastikan keselamatan perbankan dan pembelian dalam talian, selain komunikasi menerusi e-mel serta aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram.

“Jadi Malaysia perlu melihat di manakah duduknya kriptografi dalam keseluruhan ekosistem digital kita, mana kita nak ganti.

“Malaysia juga melancarkan Pelan Migrasi Kriptografi Pasca-Kuantum (PQC) Kebangsaan 2025-2030 dengan memberi fokus terlebih dahulu untuk lima tahun pertama (kepada) NCII (Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara),” jelasnya.

Muhammad Rezal membentangkan topik ‘Kriptografi Pascakuantum dalam Amalan: Strategi Migrasi untuk Komunikasi Selamat’ menerusi sesi Perkongsian Teknologi pada NEXSEC2026. Foto: ROSLI TALIB
Muhammad Rezal membentangkan topik ‘Kriptografi Pascakuantum dalam Amalan: Strategi Migrasi untuk Komunikasi Selamat’ menerusi sesi Perkongsian Teknologi pada NEXSEC2026. Foto: ROSLI TALIB

Muhammad Rezal merupakan antara penceramah pada NEXSEC2026 yang membentangkan topik ‘Kriptografi Pascakuantum dalam Amalan: Strategi Migrasi untuk Komunikasi Selamat’ menerusi sesi Perkongsian Teknologi.

Beliau berkata, penganjuran program seperti NEXSEC2026 penting untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti dengan harapan mereka turut melaksanakan proses migrasi berkenaan secara dalaman.

Katanya, sebuah firma perunding menerusi laporan yang dikeluarkan pada Ogos 2026 meletakkan Malaysia pada Tahap Satu (Tier 1) sebagai antara dua negara yang melaksanakan migrasi itu secara teratur.

Dalam aspek pembangunan teknologi kriptografi pula, beliau berkata, PTPKM turut membimbing pemain industri tempatan menerusi pelaksanaan program sandbox pada 2025 yang berjaya menghasilkan 40 teknologi dalam versi beta dan belum dikomersialkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!