Empayar scam ASEAN

Laporan OHCHR pada 20 Februari 2026 menganggarkan sekurang-kurangnya 300,000 individu dari kira-kira 66 negara telah diperdagangkan untuk bekerja dalam operasi penipuan siber di Asia Tenggara.
Laporan OHCHR pada 20 Februari 2026 menganggarkan sekurang-kurangnya 300,000 individu dari kira-kira 66 negara telah diperdagangkan untuk bekerja dalam operasi penipuan siber di Asia Tenggara.
A
A
A

RATUSAN ribu manusia diperdaya sindiket jenayah antarabangsa sebelum dipaksa menjalankan penipuan dalam talian, malah ada yang diseksa apabila gagal mencapai sasaran.

Tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan di luar negara menjadi umpan kepada ribuan individu yang akhirnya terperangkap dalam kompleks penipuan dalam talian, sekali gus menjadikan Asia Tenggara antara pusat utama kegiatan jenayah siber dunia.

Di sebalik operasi yang kelihatan seperti pusat perniagaan moden itu, tersembunyi realiti mengerikan apabila mangsa pemerdagangan manusia dipaksa menjalankan penipuan pelaburan, penyamaran identiti, penipuan percintaan dan transaksi mata wang kripto.

Lebih mengejutkan, laporan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) pada 20 Februari 2026 menganggarkan sekurang-kurangnya 300,000 individu dari kira-kira 66 negara telah diperdagangkan untuk bekerja dalam operasi penipuan siber di Asia Tenggara.

Myanmar, Kemboja dan Laos dikenal pasti antara hab utama kegiatan berkenaan, manakala operasi turut dikesan di Filipina serta beberapa negara lain di luar rantau ini.

Modus operandi

Menurut INTERPOL, analisis sehingga Mac 2025 mendapati mangsa pemerdagangan manusia yang dikesan berasal dari 66 negara, dengan 74 peratus dibawa ke pusat penipuan di Asia Tenggara.

Modus operandi sindiket bermula dengan iklan pekerjaan palsu di media sosial, menawarkan jawatan seperti khidmat pelanggan, pemasaran digital dan pentadbiran dengan gaji menarik.

Sebahagian mangsa direkrut melalui rakan, kenalan atau ahli keluarga sendiri sebelum dibawa merentasi sempadan negara.

Sebaik tiba, pasport dan dokumen perjalanan dirampas, pergerakan dikawal dan mereka dipaksa memenuhi kuota penipuan harian.

Kegagalan mencapai sasaran boleh mengundang hukuman fizikal termasuk pukulan, renjatan elektrik, kurungan bersendirian serta ancaman dijual kepada kompleks lain.

OHCHR turut mendedahkan seorang mangsa dari Thailand dipaksa menghasilkan penipuan bernilai 300,000 baht (kira-kira AS$9,500) sehari bagi mengelakkan hukuman.

Ada kompleks yang menyerupai sebuah bandar kecil dengan bangunan bertingkat, kawalan keselamatan bersenjata dan pagar berduri, sekali gus menyukarkan mangsa melarikan diri.

No Image Caption

Malang tak berkesudahan

Lebih membimbangkan, penderitaan tidak semestinya berakhir selepas mangsa diselamatkan. Ada yang berdepan penahanan, tuduhan jenayah, stigma masyarakat dan trauma psikologi kerana disalah anggap sebagai anggota sindiket.

Dalam perkembangan lain, INTERPOL memberi amaran teknologi kecerdasan buatan (AI) turut dimanfaatkan untuk menghasilkan iklan pekerjaan palsu, profil digital dan identiti rekaan bagi memperdaya mangsa serta sasaran penipuan.

Fenomena ini membuktikan empayar scam bukan sekadar ancaman kewangan, sebaliknya krisis pemerdagangan manusia yang merentasi sempadan.

Selagi kelemahan penguatkuasaan, rasuah dan permintaan terhadap keuntungan segera terus dimanipulasi, ribuan manusia berisiko menjadi mangsa seterusnya.

Di sebalik setiap mesej tawaran kerja yang menjanjikan kehidupan lebih baik, mungkin tersembunyi pintu masuk ke sebuah penjara yang tidak pernah mereka bayangkan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!