Pengusaha pelancongan perlu sesuaikan dengan 'next normal'

Sebilangan pengusaha industri pelancongan di Pulau Pinang mungkin harus mengubah proses operasi untuk menyesuaikan dengan persekitaran perniagaan baharu. - Gambar hiasan.
Sebilangan pengusaha industri pelancongan di Pulau Pinang mungkin harus mengubah proses operasi untuk menyesuaikan dengan persekitaran perniagaan baharu. - Gambar hiasan.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Kerajaan Pulau Pinang mengingatkan pengusaha pelancongan untuk menyesuaikan dengan situasi 'next normal' dalam menghadapi krisis koronavirus (Covid-19) kerana perniagaan tidak akan beroperasi seperti sebelum ini.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berminat untuk membantu tetapi pengusaha industri juga harus menyesuaikan dengan normal baharu dan lupakan untuk menarik pengunjung yang ramai dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang ataupun lebih.

“Bukan hanya Malaysia dalam semi-lockdown, kebanyakan kerajaan lain juga turut melarang rakyatnya ke luar negara kerana khuatir mereka diserang virus itu dan menjadi pencetus rantaian jangkitan apabila kembali ke negara asal.

“Sebilangan pengusaha industri mungkin harus mengubah proses operasi mereka untuk menyesuaikan dengan persekitaran perniagaan baharu. Tetapi apa pun, saya memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan bersama anda, menghadapi krisis ini bersama-sama,” katanya semasa perbincangan meja bulat maya mengenai pelancongan di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan untuk mengetepikan bayaran hotel selama enam bulan untuk menyokong industri itu dalam tempoh yang sukar ini.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan negeri, Yeoh Soon Hin menggesa semua pengusaha pelancongan dan pihak berkepentingan di Pulau Pinang untuk bersama-sama mengatasi tempoh sukar ini.

Beliau berkata, ia memerlukan pengusaha pelancongan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memberikan persekitaran yang mencukupi dan memuaskan bagi memulihkan kembali industri pelancongan setelah sektor pelancongan di seluruh dunia terhenti oleh wabak Covid-19.

“Sekarang kita harus melihat pelancongan secara berbeza dengan kelestarian dan sanitasi menjadi yang terpenting untuk memberikan pengalaman kualiti yang sama seperti diharapkan pengunjung sambil memenuhi peraturan jarak sosial dan amalan kebersihan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sektor pelancongan membabitkan lebih 150,000 pekerja di Pulau Pinang dan bernilai RM9 bilion dengan nilai tambah, beroperasi di lebih 35,700 perniagaan. - Bernama