Siapa sasterawan muda kita?

NEGARA kehilangan sebutir permata tidak ternilai apabila Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.10 petang di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada usia 91 tahun.
Allahyarham sebelum itu dimasukkan ke hospital pada petang Isnin akibat sakit tua, selain turut menghidap diabetes.
Beliau dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka diangkat sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985.
Antara karya tersohor Allahyarham sepanjang pembabitannya dunia kesusasteraan termasuk Salina, Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan Hujan Pagi.
Ramai lagi sasterawan-sasterawan negara pergi meninggalkan kita, antaranya Keris Mas, Shahnon Ahmad, Usman Awang, Arena Wati, Abdullah Hussain, S Othman Kelantan dan Mana Sikana.
Segala karya mereka tinggalkan akan terus kekal dalam lipatan sejarah kesusasteraan Melayu yang amat penting dalam menonjolkan keindahan bahasa dan jati diri sesuatu bangsa.
Pada masa lalu, sastera medium penting bukan sahaja untuk membangkitkan semangat nasionalisme, malah untuk menegur pemimpin dan rakyat.
Mengenang jasa golongan itu, maka kerajaan memberikan Anugerah Sasterawan Negara kepada tokoh sasterawan yang memberikan sumbangan besar dan berterusan terhadap perkembangan kesusasteraan kebangsaan, khususnya melalui karya bahasa Melayu.
Namun pada masa ini, karya-karya sastera berubah mengikut arus kemodenan dan disesuaikan dengan audiens yang masih dapat menilai ketinggian sesuatu karya sastera.
Ini menyebabkan keunikan dan keindahan sastera pada masa lalu semakin lama semakin pudar, malah fungsi utama sastera juga tidak lagi mampu membugar jati diri bangsa.
Zaman sekarang anak muda lebih gemar mencari hiburan ringan yang tidak memberikan manfaat kepada pembentukan jati diri.
Kita amat mengharapkan agar muncul generasi baharu sasterawan yang mampu membangkitkan kembali estetika sastera supaya ia akan terus kekal dalam sanubari bangsa.
Hilangnya sastera bermutu tinggi, maka hilanglah juga jati diri bangsa sebenar. Semoga hal yang sedemikian tidak berlaku di tanah air tumpah darahku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
