Kerajaan teliti cadangan namakan jalan sempena A Samad Said - Fahmi

Fahmi Fadzil. Foto Bernama
Fahmi Fadzil. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan menamakan semula salah satu jalan di ibu negara sempena nama Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri A Samad Said sebagai penghormatan terhadap sumbangan besar beliau dalam bidang kesusasteraan dan kewartawanan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, cadangan itu dikemukakan oleh tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin dan akan diteliti bersama beberapa cadangan lain bagi mengenang jasa Allahyarham.

Menurutnya, Allahyarham bukan sahaja merupakan sasterawan luar biasa, malah turut mempunyai sumbangan besar dalam bidang kewartawanan.

"Allahyarham merupakan seorang sasterawan yang luar biasa, bukan sahaja dalam bidang penulisan sastera, malah Allahyarham juga berkecimpung dalam bidang kewartawanan.

"Pada masa ini, saya rasa agak jarang kita menemui wartawan yang juga merupakan seorang sasterawan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di sini pada Rabu.

Fahmi berkata, karya-karya agung Allahyarham juga perlu diberi perhatian dan diperkenalkan semula kepada generasi muda termasuk Gen Z dan Gen Alpha.

Katanya, beliau turut berbincang dengan anak Allahyarham, Az, mengenai keperluan keluarga meneliti beberapa aspek berkaitan hak cipta serta usaha mengekalkan hasil penulisan Allahyarham.

Selain itu, beliau berpandangan terdapat kewajaran untuk mewujudkan sebuah galeri bagi mengenang jasa Allahyarham selain menghimpunkan karya-karya beliau.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH, kita akan meneliti beberapa cadangan ini.

"Namun, bagi saya, perkara paling penting ialah kita menghayati karya-karya Allahyarham, beliau juga merupakan seorang pejuang hak rakyat dan perkara ini tidak harus kita lupakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!