Bila banjir datang, alasan pun berulang

Alasan hujan lebat di luar kebiasaan juga tidak seharusnya terus menjadi penjelasan utama setiap kali banjir berlaku. Foto hiasan
Alasan hujan lebat di luar kebiasaan juga tidak seharusnya terus menjadi penjelasan utama setiap kali banjir berlaku. Foto hiasan
A
A
A

BANJIR berlaku secara berulang dan bukan lagi fenomena asing di negara ini. Setiap kali hujan lebat berterusan, penduduk di kawasan berisiko terpaksa berdepan kebimbangan terhadap keselamatan diri, kerosakan harta benda dan kemungkinan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengurusan bencana tidak seharusnya terus bergantung kepada tindakan selepas kejadian, sebaliknya memerlukan perancangan jangka panjang yang lebih menyeluruh bagi mengurangkan risiko serta melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Hakikatnya, masyarakat sudah terlalu kerap mendengar kenyataan bahawa kerajaan amat memahami, memandang serius atau akan meneliti masalah banjir setiap kali bencana melanda.

Kenyataan sedemikian tidak lagi memadai sekiranya tidak disusuli tindakan berkesan dan penyelesaian yang mampu menangani masalah berulang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengarahkan semua agensi berkaitan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi serta mempercepat kerja pembersihan saliran tersumbat sebagai langkah mengekang risiko banjir berulang.

Arahan itu turut merangkumi usaha memperkukuh pemantauan paras air dan sistem amaran awal, selain memastikan projek tebatan banjir dilaksanakan mengikut perancangan.

Namun, arahan dan perancangan hanya akan bermakna sekiranya dilaksanakan secara konsisten. Alasan hujan lebat di luar kebiasaan juga tidak seharusnya terus menjadi penjelasan utama setiap kali banjir berlaku.

Perubahan corak cuaca dan peningkatan risiko hujan ekstrem sepatutnya diambil kira dalam perancangan pembangunan serta pengurusan saliran.

Projek tebatan banjir juga tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kawasan yang pernah dilanda bencana. Penilaian risiko perlu diperluas bagi memastikan kawasan yang berpotensi terjejas turut mendapat perhatian sebelum kejadian berlaku.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, keperluan mekanisme khusus bagi menangani banjir berulang, termasuk penyelarasan dan penyaluran bantuan kepada mangsa perlu diberi perhatian serius kerajaan negeri serta agensi berkaitan.

Akhirnya, rakyat tidak mengharapkan kenyataan yang sama diulang setiap kali banjir melanda. Apa yang diperlukan ialah tindakan yang terancang, pelaksanaan yang berkesan dan penyelesaian jangka panjang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!