Enam bulan tinggal sebumbung, pasangan kekasih ditahan berkhalwat

Sepasang kekasih ditahan atas kesalahan berkhalwat selepas didapati tinggal bersama seperti suami isteri selama enam bulan di sebuah rumah teres satu tingkat, awal pagi Selasa.
Sepasang kekasih ditahan atas kesalahan berkhalwat selepas didapati tinggal bersama seperti suami isteri selama enam bulan di sebuah rumah teres satu tingkat, awal pagi Selasa.
A
A
A

PASIR GUDANG – Sepasang kekasih ditahan atas kesalahan berkhalwat selepas didapati tinggal bersama seperti suami isteri selama enam bulan di sebuah rumah teres satu tingkat di sini, awal pagi Selasa.

Pasangan berusia 25 dan 31 tahun itu ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam pemeriksaan kira-kira jam 1.50 pagi di sebuah taman perumahan di daerah ini.

Menurut JAINJ, pemeriksaan dilakukan selepas penguat kuasa mengetuk pintu rumah berkenaan beberapa kali, namun tiada penghuni yang memberikan respons.

Katanya, selepas menunggu kira-kira 35 minit dan memberikan amaran tegas supaya penghuni bekerjasama, penguat kuasa terpaksa memotong mangga kunci bagi membuka pintu pagar besi rumah itu.

"Selepas pintu pagar berjaya dibuka, seorang lelaki yang memakai seluar panjang dan baju-T muncul di muka pintu sebelum penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

"Keadaan ruang tamu rumah agak gelap sebelum penguat kuasa menggunakan lampu suluh untuk melakukan pemeriksaan," menurut kenyataan itu.

Menurutnya, pemeriksaan di bilik utama yang pintunya tidak berkunci menemukan seorang wanita sedang berbaring di atas katil dalam keadaan memakai seluar panjang dan baju-T.

Katanya, bilik berkenaan menggunakan penghawa dingin pada suhu 22 darjah Celsius, manakala keadaan katil didapati tidak teratur dengan cadar dan bantal berselerakan.

"Pemeriksaan turut mendapati rumah berkenaan mempunyai tiga bilik, namun dua bilik lain tidak berpenghuni.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, pakaian lelaki dan wanita ditemukan bercampur di dalam almari," katanya.

Hasil soal siasat mendapati lelaki terbabit berstatus bujang, berasal dari Selangor dan bekerja di Pasir Gudang, manakala wanita berkenaan berasal dari Johor Bahru serta masih berstatus anak dara berdasarkan rekod.

Menurut JAINJ, pasangan itu mengaku menyewa rumah berkenaan dengan kadar RM1,000 sebulan dan berkongsi bayaran sewa setiap bulan.

"Mereka mengaku sudah tinggal bersama selama enam bulan seperti suami isteri walaupun tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah.

"Siasatan turut mendapati mereka mula berkenalan menerusi media sosial kira-kira lima tahun lalu ketika lelaki terbabit masih menetap di Selangor sebelum lelaki itu datang ke Pasir Gudang untuk bertemu pasangannya," katanya.

Menurutnya, pasangan berkenaan kemudian mengambil keputusan untuk tinggal bersama di rumah sewa terbabit.

Ketika ditanya mengenai perancangan untuk mendirikan rumah tangga, kedua-duanya mengakui mempunyai hasrat untuk bernikah, namun masih belum menetapkan sebarang tarikh atau membuat permohonan perkahwinan.

Tambah JAINJ, pasangan berkenaan ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!