Selamatkan wang mangsa yang ditipu

KEUPAYAAN memulihkan wang mangsa perlu menjadi antara ukuran utama keberkesanan usaha membanteras penipuan dalam talian bukan sekadar berdasarkan jumlah aduan diterima, akaun dibekukan atau wang berjaya disita.
Ini kerana statistik Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu memperlihatkan jurang ketara antara jumlah kerugian dengan wang yang berjaya dikembalikan kepada mangsa.
Daripada RM250.35 juta kerugian dilaporkan, hanya RM6.67 juta berjaya dipulangkan. Ia bersamaan kira-kira 2.66 peratus daripada keseluruhan kerugian, meskipun jumlah itu mewakili 73 peratus daripada RM9.14 juta wang yang disita.
Situasi itu menunjukkan usaha memperkukuh tindak balas terhadap jenayah penipuan digital perlu bergerak melangkaui tindakan menyekat transaksi selepas mangsa membuat laporan.
Antara keutamaan ialah mewujudkan sistem perkongsian maklumat transaksi secara masa nyata antara NSRC, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan institusi perbankan supaya pergerakan wang melalui akaun keldai dapat dikesan serta disekat sebelum dipindahkan ke akaun lain atau dikeluarkan.
Selain itu, mekanisme sekatan sementara transaksi mencurigakan perlu diperkemas melalui prosedur tindak balas seragam dan tempoh tindakan yang jelas tanpa mengetepikan proses pengesahan serta hak pemilik akaun.
Usaha membanteras rangkaian akaun keldai juga perlu dipertingkat melalui pengesanan pemilik akaun, siasatan terhadap perekrut dan tindakan terhadap pihak yang mengawal aliran wang, bukan hanya tertumpu kepada individu menerima pindahan wang.
Pada masa sama perlu ada satu petunjuk prestasi utama (KPI) NSRC yang lebih menyeluruh merangkumi tempoh tindak balas, jumlah wang berjaya dijejaki, disekat dan dipulangkan serta kadar pemulihan mengikut jumlah kerugian.
Kesedaran awam juga perlu diperkukuh supaya mangsa segera menghubungi talian 997 sebaik menyedari ditipu.
Keberkesanan NSRC bukan hanya terletak pada kepantasan menerima panggilan, tetapi sejauh mana sistem itu mampu mengecilkan kerugian dan mengembalikan wang kepada mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
