Jenazah A Samad Said disolatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq

KUALA LUMPUR - Jenazah Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said disolatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di sini pada Rabu.
Jenazah Allahyarham disolatkan oleh Imam 1 Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Muhammad Abid Ayob.
Anak Allahyarham Az Abd Samad, 45, kemudiannya memberikan penghargaan dan ucapan kepada mereka yang hadir dan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Terdahulu, ahli keluarga Allahyarham, rakan penggiat seni dan orang ramai mengadakan majlis tahlil ringkas bagi mendoakan roh Allahyarham.
Turut hadir Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Selain itu turut kelihatan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat dan beberapa pimpinan politik dan para penggiat seni.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1 untuk dikebumikan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham pada malam Selasa.
Ketibaan Anwar kira-kira jam 10.50 malam turut diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tokoh kesusasteraan negara itu meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 6.10 petang Selasa.
Allahyarham dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka dan menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura dari 1940 hingga 1946.
Tokoh itu kemudiannya melanjutkan pelajaran di Victoria Institution sehingga memperoleh Sijil Senior Cambridge pada 1956.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

