PM Anwar, Wan Azizah doakan kesembuhan Sasterawan Negara A Samad Said

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendoakan agar Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang sedang menerima rawatan, diberikan kesembuhan segera.
Menerusi hantaran di media sosial hari ini, Anwar memaklumkan beliau menerima perkhabaran mengenai keadaan kesihatan tokoh yang lebih dikenali sebagai Pak Samad itu, yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Katanya, beliau bersama Wan Azizah dan keluarga mendoakan agar ALLAH mengurniakan keafiatan, mengangkat segala kesakitan serta memberikan kesembuhan kepada Pak Samad.
Menyifatkan A Samad Said sebagai sosok budayawan yang amat berjasa dalam dunia kesusasteraan tanah air, Anwar turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian berkenaan.
A Samad Said merupakan Sasterawan Negara keempat yang menerima pengiktirafan berprestij itu pada 1985.
Beliau dikenali menerusi karya agung seperti novel Salina yang diterbitkan pada 1961, selain Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau dan Hujan Pagi.
Sepanjang lebih tujuh dekad berkarya, Pak Samad bukan sahaja menghasilkan novel, malah puisi, cerpen, esei dan drama yang banyak mengangkat persoalan kemanusiaan, kehidupan masyarakat serta realiti sosial. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
