Malaysia mahu contohi pembangunan desa Indonesia - Ahmad Zahid

BALI – Malaysia mahu meneliti pengalaman Indonesia dalam pembangunan desa yang menggerakkan ekonomi penduduk menerusi perusahaan milik komuniti, agropelancongan dan sistem penarafan kampung.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengalaman Indonesia boleh dijadikan rujukan untuk menambah baik pelaksanaan program pembangunan luar bandar di negara ini.
“Indonesia mempunyai kira-kira 70,000 hingga 75,000 kampung berbanding sekitar 15,000 kampung di Malaysia, dengan sistem pengelasan yang membahagikan kampung kepada empat kategori iaitu maju, sedang membangun, tertinggal dan sangat tertinggal,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Wakil Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Republik Indonesia sempena lawatan kerja ke Bali pada Selasa.
Ahmad Zahid berkata, pendekatan pembangunan kampung di Indonesia turut memberi penekanan kepada keupayaan penduduk menjana pendapatan melalui kegiatan ekonomi yang diusahakan sendiri.

Menurut beliau, antara contoh yang dilihat ialah penduduk Desa Tegallalang yang menjadikan sawah padi berteres sebagai tarikan pelancongan, sekali gus menyediakan sumber pendapatan tambahan kepada komuniti setempat.
“Yang pentingnya ialah bagaimana kampung-kampung itu dimajukan bukan disebabkan oleh dana yang diperuntukkan kerajaan tetapi diusahakan oleh penduduk kampung itu sendiri.
“Hasil kedatangan pelancong itu bukan sahaja pada sawah itu tetapi dikongsi hasilnya dengan semua penduduk kampung,” katanya.
Selain agropelancongan, Indonesia turut mempunyai model Badan Usaha Milik Desa (BUMDes) yang membolehkan penduduk memiliki dan menguruskan perusahaan sendiri, termasuk kegiatan kraftangan serta ukiran kayu yang dipasarkan ke luar negara.
Menurut Ahmad Zahid, pengalaman Indonesia menerusi Indeks Desa juga boleh dijadikan rujukan untuk menambah baik sistem penarafan kampung di Malaysia, khususnya dari segi pengumpulan data bagi menentukan keperluan program pembangunan.
“Amalan pengasingan sisa dan pengkomposan sisa organik oleh penduduk Desa Tegallalang turut boleh dicontohi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP),” katanya.
Dalam perkembangan sama, Malaysia dan Indonesia bersetuju dengan cadangan Program Desa Berkembar (Sister Village) bagi memadankan kampung di kedua-dua negara berdasarkan kekuatan ekonomi masing-masing, termasuk melalui pertukaran kepakaran, pembangunan produk bersama dan peluasan akses pasaran.
Kedua-dua negara turut bersetuju menubuhkan Kumpulan Kerja Bersama (JWG) bagi memperincikan cadangan kerjasama, mengenal pasti program keutamaan dan memantau pelaksanaannya yang akan dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan.
“Beberapa perkara yang mereka lakukan boleh kita pelajari, begitu juga mereka akan mempelajari apa yang telah kita laksanakan di Malaysia. Jadi, kedua-dua negara boleh menambah baik program sedia ada,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
