Pencegahan jenayah curi kabel fokus lokasi kerap kes, premis barang lusuh - JPJKK

Laporan muka depan Sinar Ahad berhubung insiden curi kabel di kawasan TREC, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Laporan muka depan Sinar Ahad berhubung insiden curi kabel di kawasan TREC, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyelarasan tindakan pencegahan jenayah curi kabel memberi tumpuan kepada lokasi yang kerap berlaku kejadian berkenaan serta premis barang lusuh yang dikenal pasti menerusi aduan awam, maklumat risikan atau hasil siasatan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya menyelaras tindakan pencegahan jenayah di peringkat kontinjen dan daerah dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat utiliti serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Menurutnya, JPJKK turut menyelaras pemeriksaan bersama agensi berkaitan dan PBT dengan menyemak lesen serta pematuhan syarat perniagaan, manakala polis meneliti rekod urus niaga dan asal usul kabel yang disyaki dicuri.

"Pihak syarikat utiliti juga membantu mengenal pasti kabel berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, maklumat daripada laporan polis dan syarikat utiliti digunakan bagi menumpukan rondaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) di lokasi yang sering mencatatkan kejadian berulang.

Tambahnya, sebarang penemuan yang mempunyai unsur jenayah akan dirujuk kepada JSJ, manakala kes ketidakpatuhan syarat lesen dirujuk kepada PBT untuk tindakan lanjut.

"Keberkesanan tindakan dinilai berdasarkan jumlah premis yang diperiksa, hasil tindakan susulan dan perubahan kadar kejadian berulang di lokasi tumpuan," katanya.

Menurut beliau, syarikat utiliti sebagai pemilik atau pengendali aset perlu memainkan peranan penting dalam pencegahan awal kecurian kabel di bawah seliaan masing-masing.

"Ini termasuk mengenal pasti lokasi yang kerap terjejas, memastikan kawalan fizikal berfungsi dengan baik serta segera membaiki kerosakan yang boleh membuka ruang kepada pencerobohan.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan berkala dan pemantauan perlu diutamakan di lokasi yang sering menjadi sasaran atau melibatkan perkhidmatan kritikal," katanya.

Beliau berkata, sekiranya terdapat petunjuk berlakunya kecurian kabel, pihak utiliti perlu segera memaklumkan polis serta menyediakan maklumat berkaitan lokasi, rekod kerja kontraktor dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Perkongsian maklumat ini membantu polis menumpukan rondaan pencegahan dan menjalankan siasatan berdasarkan bukti yang diperoleh," katanya.

Dalam pada itu, komuniti setempat turut disaran membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat segera menerusi talian kecemasan 999.

"Utamakan keselamatan diri dan elakkan menghampiri atau mengejar individu yang disyaki. Sebarang rakaman telefon bimbit atau CCTV hendaklah diserahkan kepada pihak polis kerana maklumat tersebut dapat membantu mengesan suspek," katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan gesaan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menjual dan membeli kabel curi.

Terbaharu, satu kes kecurian kabel yang tular dilaporkan berlaku pada waktu siang di TREC, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, membabitkan sekumpulan individu yang menggunakan dua kenderaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, menegaskan pihaknya sedang giat memburu semua suspek untuk tindakan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!