Curi kabel di khalayak ramai, penjenayah tidak lagi takut risiko

Laporan muka depan Sinar Ahad berhubung insiden curi kabel di kawasan TREC, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Laporan muka depan Sinar Ahad berhubung insiden curi kabel di kawasan TREC, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
A
A
A

JENAYAH mencuri kabel yang dilakukan secara terang-terangan di hadapan orang ramai bukan sekadar mencetuskan kemarahan, malah memberi gambaran lebih besar bagaimana keuntungan daripada kegiatan haram berpotensi mengatasi rasa takut terhadap tindakan undang-undang.

Insiden di kawasan TREC, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Sabtu, apabila sekumpulan individu bertopeng memotong dan menarik kabel sebelum melarikan diri menggunakan dua kenderaan, memperlihatkan keberanian yang sukar dianggap sebagai tindakan jenayah biasa.

Lebih membimbangkan, tindakan itu dilakukan pada waktu siang, di lokasi terbuka dan ketika orang awam berada di sekitar kawasan berkenaan.

Cubaan orang ramai menghalang kumpulan terbabit dengan membaling kon trafik tidak mengubah tindakan mereka untuk melarikan diri.

Menjadi persoalan, apakah yang menjadikan pelaku begitu berani sehingga risiko dikesan, dirakam atau berdepan orang awam tidak lagi menjadi penghalang?

Jawapannya mungkin terletak pada pertimbangan keuntungan, risiko dan peluang.

Apabila harga tembaga meningkat di pasaran dunia, kabel yang selama ini dianggap sebahagian daripada kemudahan asas bertukar menjadi komoditi bernilai bagi pihak yang mahu mengaut keuntungan melalui jalan salah.

Pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim melihat nilai tembaga yang tinggi sebagai antara faktor kegiatan itu semakin berleluasa, selain persepsi bahawa hukuman sedia ada tidak cukup menakutkan pelaku.

Jika jenayah dilakukan secara berkumpulan, menggunakan kenderaan dan berani beroperasi di kawasan terbuka, ia turut menimbulkan persoalan sama ada kegiatan itu mempunyai pembahagian tugas, perancangan serta saluran untuk menjual hasil curi.

Artikel Berkaitan:

Di sinilah pendekatan membanteras jenayah kabel perlu melangkaui tindakan menangkap individu yang memotong kabel.

Tanpa memutuskan rantaian permintaan, kegiatan itu berisiko terus hidup kerana masih terdapat pihak yang sanggup membeli bahan berkenaan.

Cadangan penganalisis kriminologi, Nadiah Syariani Md Shariff supaya hukuman mengambil kira nilai kerugian sebenar, khususnya terhadap infrastruktur awam, juga perlu dilihat dalam konteks kesan jenayah yang lebih luas.

Kabel yang dicuri bukan sekadar aset yang perlu diganti, sebaliknya boleh menjejaskan perkhidmatan, keselamatan pengguna, kos penyelenggaraan dan kelancaran kehidupan masyarakat.

Keberkesanan penguatkuasaan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui jumlah tangkapan, tetapi sejauh mana sindiket dapat dilumpuhkan, pembeli kabel curi dapat dikenakan tindakan dan kejadian berulang dapat dicegah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!