Kereta remuk, sisi rumah roboh dirempuh Proton Satria terbabas

Keadaan Proton Satria yang terbabas dalam kejadian di Jalan Kampung Tehel Hulu, di sini, pada Ahad.
Keadaan Proton Satria yang terbabas dalam kejadian di Jalan Kampung Tehel Hulu, di sini, pada Ahad.
A
A
A

JASIN - Sebahagian struktur sebuah rumah, termasuk beranda serta bumbung di bahagian hadapan dan sisi, roboh selepas dirempuh sebuah kereta Proton Satria yang terbabas di Jalan Kampung Tehel Hulu, di sini, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, kereta yang dipandu seorang penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berusia 23 tahun turut merempuh sebuah Perodua Myvi yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Proton Satria itu dipandu dari arah Jasin menghala ke Melaka.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh rumah di sebelah kanan jalan serta sebuah Perodua Myvi yang diparkir di hadapan rumah berkenaan.

Keadaan rumah dan kereta yang terjejas susulan Proton Satria dinaiki penuntut Utem pada Ahad.
Keadaan rumah dan kereta yang terjejas susulan Proton Satria dinaiki penuntut Utem pada Ahad.

"Pemandu Proton Satria mengalami kecederaan ringan di bahagian tengkuk dan pinggang serta beberapa calar pada badan sebelum dibawa ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, pemilik Perodua Myvi berusia 41 tahun dan pemilik rumah berusia 64 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, impak rempuhan menyebabkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk, manakala beranda serta bumbung di bahagian hadapan dan sisi rumah tersebut turut roboh.

Artikel Berkaitan:

Keadaan kedua-dua kenderaan yang terjejas teruk susulan kejadian pada Ahad lalu.
Keadaan kedua-dua kenderaan yang terjejas teruk susulan kejadian pada Ahad lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu mengawal kenderaan.

"Pemandu juga tidak disyaki berada di bawah pengaruh alkohol.

"Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau kamera papan pemuka diperoleh setakat ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!