Polis buru sekumpulan individu tular curi kabel

KUALA LUMPUR - Sekumpulan individu dipercayai mencuri kabel dalam kejadian tular di hadapan pusat hiburan TREC, Jalan Tun Razak di sini sedang diburu polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, DatukFadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan polis kira-kira jam 9.50 pagi, Sabtu berhubung satu hantaran video berdurasi 38 saat yang dimuat naik di platform Threads.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada waktu siang dengan sekumpulan individu menggunakan dua kenderaan ketika melakukan kerja memotong kabel berkenaan.
"Semua suspek melarikan diri selepas dihampiri orang awam yang menyedari kegiatan mereka.
"Polis sedang giat menjalankan tindakan mengesan semua suspek yang terbabit dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, kejadian curi kabel itu dikesan selepas tular di media sosial.
Kejadian terbabit turut dikongsikan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi akaun Facebook miliknya.
Sementara itu, Fadil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-9289 9222.
"Maklumat juga boleh disalurkan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

