Kerajaan sasar 30,000 pengecas EV menjelang 2030

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan pembangunan sebanyak 30,000 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara menjelang tahun 2030 iaitu kira-kira empat kali ganda jumlah semasa.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, sasaran tersebut akan direalisasikan melalui penggalakan pelaburan sektor swasta melalui pengendali titik pengecasan (CPO) serta kerjasama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemain industri.
"Bagi memastikan akses kepada kemudahan pengecas EV dapat diperluaskan secara lebih menyeluruh, kerajaan akan terus menggalakkan CPO untuk meneroka peluang pelaburan di kawasan luar bandar dan pekan kecil.
"Bagi menyokong usaha peluasan tersebut, kerajaan juga telah memperkukuh pendekatan Whole-of-Government melalui kerjasama antara kementerian, agensi, syarikat utiliti, kerajaan negeri, PBT dan pemain industri," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu Tze Tzin memaklumkan, sehingga 30 September 2026, sebanyak 7,341 unit pengecas EV awam telah dipasang di seluruh negara, terdiri daripada 4,992 pengecas arus ulang alik (AC) dan 2,349 pengecas pantas arus terus (DC).
Menurutnya, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada aspek taburan dan aksesibiliti infrastruktur bagi memastikan pembangunan kemudahan pengecas tidak hanya tertumpu di kawasan bandar utama, malah diperluas ke kawasan pekan kecil dan luar bandar berdasarkan keperluan setempat.
"Kerajaan mengambil pendekatan bahawa pembangunan kemudahan ini perlu dilaksanakan secara berperingkat dan strategik berdasarkan potensi penggunaan serta kesesuaian lokasi bagi memastikan kemudahan dapat dimanfaatkan secara optimum.
"Pengguna EV di kawasan luar bandar dan pekan kecil yang mempunyai kemudahan parkir serta bekalan elektrikbersesuaian di kediaman masing-masing, berpeluang memasang pengecas EV persendirian bagi memenuhi keperluan pengecasan harian," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

