Kerang kapak tular, hakisan pantai dedah semula tapak pelupusan sampah lama

Fenomena itu dipercayai berlaku susulan hakisan pantai yang semakin serius susulan ombak kuat setiap kali MTL melanda negeri ini sekali gus menampakkan semula sampah yang telah dilupuskan terdahulunya. - Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

A
A
A

KOTA BHARU – Kemunculan kerang kapak di pesisir Pantai Dasar yang tular sejak kebelakangan ini bukan sahaja menarik perhatian orang ramai, malah mencetuskan tanda tanya apabila kawasan sama turut dipenuhi sampah sarap yang dipercayai sisa daripada tapak pelupusan lama.

Fenomena itu dipercayai berlaku akibat hakisan pantai yang semakin serius susulan ombak kuat ketika Monsun Timur Laut (MTL), sekali gus mendedahkan semula timbunan sampah yang telah dilupuskan sebelum ini.

Keadaan berkenaan mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial apabila ada pihak mendakwa pantai di Kelantan tercemar dan dipenuhi sampah sarap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Nik Asma' Bahrum Nik Abdullah berkata, kawasan yang tular itu merupakan bekas tapak pelupusan sampah milik Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sebelum bertukar status menjadi kawasan persendirian.

Menurut beliau, kawasan berkenaan bukan sebahagian daripada tapak pelupusan sampah yang masih beroperasi.

“Kerang kapak itu berasal dari laut dan bukannya dari kawasan sampah berkenaan.

“Bagaimanapun, kita berharap tidak berlaku pencemaran dan orang ramai, khususnya pengutip kerang, perlu lebih berhati-hati,” katanya ketika dihubungi.

Kemunculan kerang kapak di pesisir Pantai Dasar, Kota Bharu yang tular sejak kebelakangan ini bukan sahaja mengundang perhatian orang ramai, malah mencetuskan tanda tanya apabila kawasan sama turut dipenuhi sampah sarap yang dipercayai sisa tapak pelupusan lama. - Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, lokasi berkenaan terletak di antara Pantai Dasar dan Tok Lukok, manakala sebahagian pesisir pantai itu masih belum mempunyai benteng kerana melibatkan kawasan persendirian.

Menurutnya, kawasan bekas tapak pelupusan sampah itu telah dibeli pihak swasta untuk tujuan pembangunan, namun masalah hakisan pantai menimbulkan kebimbangan terhadap kawasan berkenaan.

Difahamkan, kawasan yang sebelum ini kurang dikunjungi orang ramai mula menjadi tumpuan selepas kemunculan kerang kapak menarik kehadiran pengunjung dan pengutip hasil laut.

Keadaan itu turut menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan kerang yang dikutip berhampiran bekas tapak pelupusan sampah berkenaan, terutama jika wujud risiko pencemaran.

Pantai Dasar yang sebelum ini kurang dikunjungi orang ramai mula menjadi tumpuan selepas kemunculan kerang kapak menarik kehadiran pengunjung dan pengutip hasil laut.
Pantai Dasar yang sebelum ini kurang dikunjungi orang ramai mula menjadi tumpuan selepas kemunculan kerang kapak menarik kehadiran pengunjung dan pengutip hasil laut.

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, 50, mengakui kawasan tersebut merupakan tapak pelupusan sampah yang tidak lagi digunakan.

“Kawasan ini sebenarnya jauh dari pantai, namun apabila berlaku hakisan, jarak itu menjadi semakin dekat.

“Tambahan pula kawasan ini tidak mempunyai benteng, menyebabkan timbunan sampah muncul semula,” katanya.

Menurut Shah, sebelum ini kawasan berkenaan hanya menjadi lokasi tumpuan kaki pancing sebelum kehadiran orang ramai meningkat selepas fenomena kerang kapak tular.

Seorang pengunjung, Amir Mustapa, 45, berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera, termasuk membina benteng bagi mengelakkan masalah hakisan menjadi lebih serius.

“Saya bimbang jika tiada langkah segera diambil, sampah ini akan hanyut ke laut dan mencemarkan hidupan marin.

“Langkah pencegahan perlu dipercepatkan sebelum keadaan menjadi tidak terkawal kerana tompokan sampah yang muncul agak banyak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!