Menang majoriti 16,000 undi, Rais janji salur 30 peratus peruntukan ADUN kepada ATM

Rais
Rais
A
A
A

TANGGA BATU - Sebanyak 30 peratus daripada peruntukan tahunan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang akan dikhususkan bagi kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), keluarga dan veteran tentera di kawasan itu.

Datuk Rais Yasin berkata, komitmen itu dilaksanakan selepas beliau diberi mandat di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Menurutnya, peruntukan berkenaan bukan sahaja akan digunakan untuk membantu kebajikan warga ATM, malah turut membiayai pelbagai program khusus untuk golongan terbabit.

Katanya, komitmen itu dibuat mengambil kira kehadiran hampir 15,000 warga ATM termasuk veteran dan ahli keluarga mereka yang menjadi sebahagian besar komuniti di kawasan berkenaan.

"Seperti yang saya katakan dalam manifesto atau aku janji, sekiranya diberikan mandat, 30 peratus daripada peruntukan yang saya terima sebagai ADUN adalah untuk warga Angkatan Tentera, keluarga dan veteran mereka, termasuk aspek kebajikan serta program.

"Contohnya, jika kita menerima peruntukan RM500,000 setahun, sebanyak RM150,000 akan dikhaskan untuk mereka dan tidak boleh digunakan bagi tujuan lain," katanya ditemui pada istiadat angkat sumpah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pejabat Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam pada Ahad.

Pada PRN Melaka, Sabtu lalu, Rais yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka menang kerusi DUN Sungai Udang dengan majoriti 16,214 undi.

Beliau memperoleh 18,317 undi, manakala calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mejar (B) Abdullah Mahadi meraih 2,103 undi dan calon Bebas, Mohd Ridzuan Abdul Rahman mendapat 1,322 undi.

Rais berkata, peruntukan khusus ATM itu merupakan komitmen hubungan erat terjalin antara beliau dengan warga ATM sejak dilantik sebagai penyelaras DUN Sungai Udang sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pelbagai program bersama warga tentera telah dilaksanakan sebelum ini termasuk Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati, sambutan Maulidur Rasul, konsert bersama tentera serta jamuan hari raya setiap tahun.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan masyarakat awam di Sungai Udang tidak akan dipinggirkan, sebaliknya kebajikan semua lapisan penduduk akan terus diberi perhatian.

Mengulas kemenangannya dengan majoriti besar, Rais menyifatkan pencapaian itu sebagai satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dan bukannya ruang untuk berbangga.

"Saya bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana menerima antara jumlah undi tertinggi, namun ini bukan masa untuk kita berbangga atau bermegah-megah.

"Ini adalah mandat besar daripada rakyat yang perlu kita insafi. Saya tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang diberikan dan akan berusaha melaksanakan segala perkara yang telah ditawarkan," katanya.

Tambahnya, beliau turut memberi perhatian kepada isu pembangunan di Sungai Udang termasuk masalah pencemaran dan bau yang perlu ditangani seiring dengan kepesatan pembangunan kawasan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!