Fadhlina turun padang tinjau keadaan mangsa banjir

Fadhlina (kiri) meninjau keadaan PPS yang dibuka untuk menempatkan mangsa banjir pada malam Ahad.
Fadhlina (kiri) meninjau keadaan PPS yang dibuka untuk menempatkan mangsa banjir pada malam Ahad.
A
A
A

NIBONG TEBAL – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek turun padang meninjau keadaan penduduk yang terjejas akibat banjir di beberapa kawasan sekitar Sungai Kechil di sini, malam Ahad.

Beliau bergegas ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Kechil sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut bertemu penduduk yang dipindahkan bagi melihat sendiri keadaan serta mengenal pasti keperluan mereka.

Menurut Fadhlina, antara kawasan yang terjejas ialah Sungai Duri, Kampung Sethu, Kampung Besar, Kampung Sungai Buaya, Sungai Kechil dan Jawi.

“Setakat ini, seramai 23 keluarga dilaporkan terjejas akibat banjir.

“Pusat Khidmat Rakyat Nibong Tebal turut menyediakan makanan bagi memastikan semua keluarga yang berlindung di PPS dapat menjamah hidangan malam ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Fadhlina (tengah) mendapatkan maklumat lanjut daripada pegawai bomba bertugas mengenai banjir di beberapa kawasan di Nibong Tebal.
Fadhlina (tengah) mendapatkan maklumat lanjut daripada pegawai bomba bertugas mengenai banjir di beberapa kawasan di Nibong Tebal.

Beliau berkata, bantuan makanan turut dihantar ke beberapa rumah penduduk yang terjejas bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau juga sudah menghubungi semua agensi berkaitan untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan proses pemindahan mangsa berjalan lancar, selain keperluan asas mencukupi.

Dalam pada itu, Fadhlina menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.

Beliau turut mengingatkan penduduk supaya tidak menunggu sehingga keadaan banjir bertambah buruk sebelum berpindah ke tempat lebih selamat.

“Saya akan terus memantau keadaan banjir ini dengan rapat,” katanya.

Difahamkan setakat ini, hanya satu PPS Sungai Kechil dibuka untuk menempatkan penduduk yang terjejas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!