Reformasi Parlimen perkukuh kebebasan badan perundangan - PM

Anwar menyantuni tetamu pada majlis jamuan makan malam sempena lawatan kerja beliau bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina, malam Ahad. Foto Bernama
Anwar menyantuni tetamu pada majlis jamuan makan malam sempena lawatan kerja beliau bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina, malam Ahad. Foto Bernama
A
A
A

MANILA - Reformasi Parlimen Malaysia melibatkan pemindahan kuasa pentadbiran daripada Perdana Menteri serta kerajaan kepada Parlimen dan Speakernya sekali gus memperkukuh kebebasan badan perundangan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau menyifatkan penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen sebagai reformasi besar yang melibatkan kesediaan pihak eksekutif melepaskan kuasa ke atas pentadbiran Parlimen. 

"Akta Perkhidmatan Parlimen membawa maksud bahawa kuasa yang sebelum ini berada di tangan Perdana Menteri dan kerajaan diserahkan kepada Dewan Rakyat,” katanya pada majlis makan malam yang diadakan sempena lawatan kerja beliau ke Filipina bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini malam Ahad.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.

Anwar juga berkata, kepentingan reformasi tidak selalu dihargai sepenuhnya, dan ramai pemimpin enggan melepaskan kuasa sedemikian.

Beliau berkata, reformasi itu telah dibincangkan selama 30 hingga 40 tahun, dan menegaskan bahawa mereka yang memegang jawatan tinggi perlu sentiasa terbuka kepada sebarang pertanyaan.

Makan malam anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Manila itu turut diserikan dengan persembahan oleh kanak-kanak Malaysia. - Bernama

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!