Kedah bentang Belanjawan 2027 berjumlah RM1.34 bilion

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah pada Ahad membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.34 bilion dengan mengunjurkan defisit mengurus sebanyak RM90 juta atau 10.59 peratus bagi 2027.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, menerusi belanjawan negeri bertemakan 'The Greater Kedah: Mensejahterakan Rakyat', kerajaan negeri menganggarkan hasil berjumlah RM850 juta manakala peruntukan Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM940 juta.
Beliau berkata, sasaran kutipan hasil meningkat RM12 juta berbanding RM838 juta pada 2026, dengan hasil tanah menyumbang jumlah terbesar sebanyak RM551 juta diikuti pelbagai hasil (RM253 juta), hasil hutan (RM30 juta) dan hasil daerah (RM16 juta).
"Daripada keseluruhan peruntukan Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM81.66 juta disediakan bagi Perbelanjaan Tanggungan manakala RM858.34 juta diperuntukkan untuk Perbelanjaan Bekalan dan Perkhidmatan.
"Belanjawan 2027 itu turut merangkumi peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, Kumpulan Wang Pembangunan Hutan dan Kumpulan Wang Pembangunan Bekalan Air, dengan keseluruhan peruntukan pembangunan berjumlah RM401.28 juta," katanya.
Muhammad Sanusi berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Ahad.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM245 juta diperuntukkan bagi Kumpulan Wang Pembangunan Negeri melibatkan 10 jabatan pelaksana manakala RM12.53 juta disediakan untuk pembangunan hutan.
Kumpulan Wang Pembangunan Bekalan Air pula menerima peruntukan RM143.75 juta merangkumi RM138.75 juta daripada pinjaman kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan tiga projek pinjaman dan RM5 juta daripada peruntukan kerajaan negeri.
"Kerajaan negeri turut menyasarkan pengurangan defisit mengurus secara berperingkat kepada 10.59 peratus pada 2027 berbanding 12.65 peratus pada 2025 dan 11.81 peratus pada 2026.
"Usaha itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh kedudukan fiskal melalui kawalan perbelanjaan, peningkatan kecekapan pengurusan dan pengoptimuman sumber hasil negeri bagi memastikan kemampanan kewangan jangka panjang," katanya.
Belanjawan 2027 adalah tahun kedua pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 yang meneruskan agenda pembangunan negeri berteraskan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan The Greater Kedah 2050, dengan memberi penekanan kepada usaha memastikan kemajuan ekonomi turut meningkatkan kesejahteraan rakyat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
