Populariti Anwar merosot luar biasa, dakwa Abdul Kadir

SHAH ALAM – Kemerosotan populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan luar biasa bagi seorang pemimpin yang menunggu begitu lama dan berusaha begitu keras untuk menjadi Perdana Menteri.
Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, keadaan itu berlaku disebabkan nepotisme dan kegagalan menghargai jasa pejuang asal reformasi sehingga menyebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpecah-belah.
"Beliau dilihat lebih mengutamakan anak sendiri, Nurul Izzah, serta rakan baharu, Ramanan Ramakrishnan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Abdul Kadir berkata, kemerosotan berterusan Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR dan Amanah, turut jelas menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November lalu.
Menurutnya, Anwar gagal memperkukuhkan PKR dari segi kepemimpinan dan sokongan pengundi.
"Dalam PRN Melaka, daripada 28 kerusi yang ditandingi PH, gabungan itu hanya memenangi empat kerusi dan semuanya disumbangkan DAP.
"Barisan Nasional (BN) pula memenangi 21 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi," katanya.
Abdul Kadir berkata, kemenangan besar BN dan kekalahan teruk PH pada PRN Melaka bukan sesuatu yang di luar jangkaan.
Menurutnya, UMNO sebagai parti tunjang BN mempunyai kekuatan di selatan Semenanjung, manakala PH hanya pernah memperoleh kemenangan majoriti sekali, iaitu pada Pilihan Raya Umum 2018 di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada Pilihan Raya Umum 2022, PH di bawah pimpinan Anwar hanya memenangi 82 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.
Abdul Kadir berkata, Anwar hanya berjaya membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri menerusi penyertaan BN, manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyedari bahawa tanpa kuasa, bala besar akan menimpa.
Menurutnya, bermula PRU 2022 dan diikuti pilihan raya di enam negeri pada 2023, Pas mencipta gelombang hijau sehingga PH-BN mengalami kekalahan teruk.
"UMNO mulai berasa yang persekongkolan dengan musuh ketatnya, DAP, tidak disenangi oleh orang Melayu," katanya.
Bagaimanapun, apabila UMNO mula mengkritik DAP dan merenggangkan hubungan dengan PH, sokongan orang Melayu terhadap parti itu mula pulih, bermula di kubu kuatnya di Johor, diikuti Negeri Sembilan dan Melaka.
Namun, beliau berkata, kemenangan besar di tiga negeri berkenaan bukan jaminan UMNO mampu mendapatkan kembali negeri-negeri utara dan pantai timur.
Ini kerana, katanya, Pas dan rakan-rakannya tidak mungkin menyerahkan kerusi yang dimenangi di negeri berkenaan untuk ditandingi UMNO, selain parti itu hampir pupus di kawasan terbabit.
Dalam pada itu, Abdul Kadir berkata, BN dan PN turut memperlihatkan gambaran wujudnya kerjasama antara kedua-dua gabungan berkenaan sehingga menarik perhatian sesetengah pengundi Melayu.
Menurutnya, kerjasama itu dilihat baik oleh orang Melayu yang menentang PH kerana menganggapnya sebagai kesepakatan UMNO dan Pas untuk menamatkan riwayat PH.
"Pas yang kini menjadi parti terbesar di Parlimen sangat membenci PH kerana gabungan itu mempunyai Amanah, iaitu Parti Amanah Negara, parti serpihan Pas," katanya.
Selain itu, katanya, Pas juga tidak menyukai PH yang pernah dianggotainya sebelum ini kerana teruja dengan Anwar dan membenci Dr Mahathir.
Beliau berkata, penyertaan Pas dalam PH dan sebelum itu Pakatan Rakyat (PR) didapati merugikan parti berkenaan.
Menurutnya, akibat menjalinkan hubungan baik dengan DAP, Pas ditolak orang Melayu, manakala UMNO pula cepat menyedari persekongkolannya dengan DAP menerusi PH dalam Kerajaan Madani tidak disenangi penyokongnya.
Abdul Kadir berkata, ketika ini Pas dan UMNO bekerjasama untuk menghapuskan PH, namun perkara yang akan berlaku selepas matlamat itu tercapai adalah cerita berbeza.
"Tidak mustahil Pas dan UMNO kembali bercakaran," katanya.
Beliau berkata, Pas mengetahui UMNO tidak lagi sekuat dahulu dan kepemimpinannya bukan yang terbaik.
Malah, menurutnya, Pas berkemungkinan dituduh bersekongkol dengan parti yang melakukan banyak kerosakan sekiranya terus berpakat dengan UMNO.
Dari sudut lain, Abdul Kadir berkata, adalah tidak masuk akal bagi Pas menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada UMNO memandangkan parti itu mempunyai jumlah kerusi lebih besar di Parlimen.
Tambahnya, walaupun Pas tidak maksum, kepemimpinannya dilihat lebih berintegriti berbanding UMNO.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

