Hubungan Malaysia-AS tidak hadkan keterlibatan dengan negara lain termasuk China - Anwar

MANILA - Hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) tidak akan menghalang negara ini daripada melibatkan diri secara bebas dengan negara-negara lain, termasuk China, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pelaburan asing mesti beroperasi mengikut kerangka dasar negara Malaysia dan menghormati kepentingannya, ketika negara mengharungi persekitaran geopolitik yang semakin tidak menentu.
"Anda seorang pelabur, anda boleh membuat keputusan tentang apa yang ingin dilakukan, tetapi ia mesti melalui kerangka kami, dasar negara kami. Serta perlindungan terhadap kepentingan kami sebagai sebuah negara,” kata beliau pada majlis makan malam bersempena dengan lawatan kerjanya menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di sini malam ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.
Anwar berkata, beliau telah menyampaikan pendirian bebas Malaysia semasa perbualan telefon dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio kira-kira satu minggu setengah yang lepas, dengan isu-isu melibatkan pusat data, cip dan kecerdasan buatan telah dibangkitkan.
Beliau berkata, jaminan yang beliau berikan semasa perbualan itu, tidak mengetepikan hak Malaysia untuk membuat keputusan sendiri mengenai penglibatan dengan negara-negara lain, termasuk China.
Sementara itu, Anwar berkata, Sidang Kemuncak ASEAN menyediakan peluang penting untuk merangka hala tuju rantau ini, bagi mengharungi tempoh bergelora yang ditandai dengan ketidaktentuan geopolitik.
Penglibatan dengan pelbagai kuasa mencerminkan pendekatan dasar luar Malaysia dan pemusatan ASEAN, memandangkan negara-negara yang lebih kecil perlu mengemudi keadaan yang sukar dengan berhati-hati.
Mengenai isu ekonomi, Perdana Menteri berkata, usaha menarik pelaburan dan mendapatkan projek, mesti berjalan seiring dengan kerajaan yang bersih serta usaha untuk mencegah salah guna kuasa.
"Tadbir urus yang baik merupakan perkara utama bagi saya,” kata Perdana Menteri sambil mengulangi keazamannya untuk meneruskan dasar-dasar membanteras rasuah.
Anwar berkata, Malaysia harus diiktiraf bukan sahaja kerana ekonominya yang rancak, tetapi juga kerana pendirian tegasnya menentang salah guna kuasa dan rasuah endemik, yang akhirnya hanya mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat biasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
