Kenal di media sosial, isteri orang dicekup berkhalwat dengan lelaki bujang

Penguat kuasa JAINJ menjalankan pemeriksaan selepas menerima aduan awam.
Penguat kuasa JAINJ menjalankan pemeriksaan selepas menerima aduan awam.
A
A
A

KULAI – Hubungan sulit seorang wanita berstatus isteri orang dengan lelaki bujang terbongkar selepas mereka dicekup berkhalwat dalam pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah bilik sewa di Senai, di sini, pada malam Sabtu.

Pasangan berusia lingkungan 40-an dan 30-an itu ditahan kira-kira jam 11.15 malam selepas JAINJ menerima aduan awam berhubung kegiatan mereka di rumah kedai berkenaan.

Menurut kenyataan JAINJ, sebaik tiba di lokasi, penguat kuasa mendapati pintu utama rumah kedai itu tidak berkunci dan mereka terus naik ke tingkat atas yang menempatkan beberapa bilik sewa.

Katanya, penguat kuasa kemudian mengetuk pintu sebuah bilik sebelum dibuka seorang wanita yang memakai kain batik dan baju-T hitam kira-kira tiga minit kemudian.

“Penguat kuasa memperkenalkan diri sebelum masuk untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

“Keadaan bilik yang samar-samar menyebabkan penguat kuasa menggunakan lampu suluh sebelum membuka semua suis lampu,” menurut kenyataan itu.

Pemeriksaan lanjut menemukan seorang lelaki hanya berkain pelikat dan tidak berbaju sedang duduk di atas tilam bujang di dalam bilik berkenaan.

Pasangan itu kemudian mengaku tidak mempunyai hubungan sebagai suami isteri, sebaliknya hanya menjalin hubungan sebagai pasangan kekasih.

Menurut kenyataan itu lagi, lelaki terbabit berstatus bujang dan bekerja di Senai, manakala wanita berkenaan masih mempunyai suami serta anak-anak yang menetap di sebuah negeri di Pantai Timur.

Wanita itu mendakwa berlaku perselisihan faham dengan suaminya dan kini dalam proses perceraian.

"Siasatan lanjut mendapati pasangan terbabit mula berkenalan menerusi media sosial lebih setahun lalu sebelum wanita berkenaan datang ke Senai untuk mencari pekerjaan.

"Mereka dipercayai tinggal sebilik sejak sebulan lalu dengan alasan mahu menjimatkan perbelanjaan sewa rumah.

"Lebih mengejutkan, bilik berkenaan pada asalnya disewa lelaki terbabit yang hanya disediakan sebuah tilam bujang oleh pemilik rumah," tambah kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, pasangan itu menambah satu lagi tilam untuk kegunaan wanita berkenaan selepas dia mula tinggal bersama lelaki terbabit.

Pemeriksaan penguat kuasa turut mendapati kedua-dua tilam berkenaan berada dalam keadaan berselerak dengan cadar dan selimut.

Pasangan itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!