Sabun pencuci guna logo halal tidak sah antara barangan bernilai RM3.28 juta dilupuskan

KLANG - Sabun pencuci disyaki menggunakan logo halal tidak sah, tembakau serta produk makanan dan minuman antara pelbagai barangan bernilai RM3.28 juta dilupuskan di Stor Penyimpanan Ekshibit Bukit Raja di sini pada Rabu.
Pelupusan menerusi Program Pelupusan Ekshibit Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Tahun 2026 itu melibatkan nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM3,284,830.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, pelaksanaan program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memastikan pengurusan barang kes hasil tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara sistematik, teratur dan mengikut prosedur ditetapkan.
Beliau berkata, antara barangan dilupuskan termasuk produk tembakau tanpa asap, barangan disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran, produk penjagaan diri, alat ganti serta aksesori kenderaan dan barangan fesyen berjenama.
"Antara nilai sitaan paling signifikan ialah kes membabitkan produk tembakau tanpa asap sebanyak 647 bundle dengan nilai sitaan RM2.63 juta.
"Selain itu, turut dilupuskan produk sabun pencuci yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah dengan nilai sitaan RM213,750," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, pelupusan berkenaan bukan sekadar proses pengurusan fizikal barangan sitaan, sebaliknya sebahagian daripada rantaian penguatkuasaan bagi memastikan setiap tindakan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti, ketelusan dan integriti.
Ujarnya, aspek keselamatan serta kaedah pelupusan turut diberi perhatian menerusi taklimat khas kepada pegawai terbabit, termasuk prosedur keselamatan dan kaedah pemusnahan bersesuaian.
Dalam perkembangan sama, Muhamad Hanif berkata, KPDN Selangor merekodkan sebanyak 107,233 pemeriksaan premis di seluruh negeri sehingga Oktober lalu.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 2,239 tindakan kes di bawah pelbagai akta direkodkan, merangkumi 1,878 kes kesalahan tawaran kompaun (KOTS) dan 361 kes sitaan.
"Nilai rampasan keseluruhan yang direkodkan ialah RM11.41 juta, manakala nilai kompaun dikenakan berjumlah RM1.54 juta membabitkan 2,028 kes KOTS dan kompaun biasa dan jumlah denda yang dikenakan mahkamah pula sebanyak RM826,686," katanya.
Beliau berkata, KPDN Selangor akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perdagangan yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan penyalahgunaan cap dagangan, penjualan barangan tiruan dan amalan perdagangan mengelirukan pengguna.
..
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

