PRN Negeri Sembilan: Bersatu berhak tanding guna logo sendiri, tidak terikat PN – Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. FOTO: SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. FOTO: SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan adalah merupakan hak parti itu serta tidak terikat dengan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebagai rakan komponen PN, Pas menghormati keputusan berkenaan dan tidak akan campur tangan.

“Itu hak setiap setiap parti dan hak mereka untuk bertanding atas logo sendiri.

“Bererti mereka juga tidak terikat dengan Perikatan Nasional untuk PRN Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya mengumumkan parti itu akan menggunakan logo sendiri bagi calon-calonnya pada PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung 1 Ogos depan.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, jumlah kerusi yang bakal ditandingi Bersatu pada PRN Negeri Sembilan juga tidak diketahui kerana perkara itu tidak melalui proses rundingan pembahagian kerusi PN.

“Jumlah kerusi tidak tahu lagi tapi mereka tidak berbahagi dengan PN.

“Mereka buat sendiri jumlah kerusi mereka,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Muhyiddin turut memaklumkan terdapat beberapa parti politik yang menyatakan hasrat untuk menggunakan logo Bersatu pada PRN Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas perkara itu, Tuan Ibrahim berpandangan parti-parti yang dimaksudkan berkemungkinan terdiri daripada komponen Ikatan Perpaduan Rakyat (IPR).

“Tan Sri Muhyiddin ialah Pengerusi IPR dan beberapa parti dalam gabungan itu termasuk Berjasa dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!