Terengganu raih pelaburan RM399.8 juta suku pertama 2026

KUALA TERENGGANU - Negeri Terengganu berjaya menarik pelaburan bernilai RM399.8 juta bagi suku pertama 2026 melibatkan sektor perkhidmatan dan perkilangan.
Exco Ekonomi Digital, Pendapatan Baru, Perindustrian, Perdagangan dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan, sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak RM336.4 juta atau 84.1 peratus.
Menurutnya, baki RM63.4 juta (15.9 peratus) pula disumbangkan oleh sektor perkilangan menerusi data yang dikeluarkan bagi tempoh Januari hingga Mac 2026.
"Pelaburan Domestik (DI) kekal menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 87.1 peratus atau RM348.4 juta, manakala Pelaburan Asing (FI) pula mencatatkan sumbangan sebanyak 12.9 peratus bersamaan RM51.5 juta.
"Daripada pelaburan dalam Suku Pertama (Q1) 2026 ini, sebanyak tujuh projek yang diluluskan bakal menjana sekurang-kurangnya 254 peluang pekerjaan baharu di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan daripada Ahmad Shah Muhamed (Pas - Bandar) mengenai nilai pelaburan semasa dan pelaburan dalam pertimbangan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Nurkhuzaini menjelaskan, bagi tempoh sama, nilai pelaburan yang diluluskan di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) adalah berjumlah RM91.2 juta melibatkan empat buah projek kelulusan penuh.
Katanya, antara syarikat perkilangan terlibat termasuk Guanglei Steel Structure Engineering Malaysia Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Telok Kalong, Leung Huat Timber Industries (M) Sdn. Bhd. di Wakaf Tapai, dan Atlas Edible Ice (Pahang) Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Jakar III.
"Bagi sektor perkhidmatan pula melibatkan projek hotel bertaraf tiga bintang oleh Laguna Redang Island Resort Sdn. Bhd. di Pulau Perhentian.
"Angka ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri, malah keberkesanan dasar pembangunan digerakkan kerajaan negeri dalam menarik pelaburan strategik," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu terdapat sembilan projek berpotensi melibatkan sektor utiliti, tenaga boleh diperbaharui, logistik dan hospitaliti yang kini sedang dalam pertimbangan.
Antara cadangan projek tersebut adalah tiga projek Jana Kuasa Hidro Kecil (2.85 MW, 3 MW dan 4.70 MW), Terminal Gasifikasi Semula Gas Kemaman LNG, Combine Cycle Gas Turbine (CCGT) 2.0 Penjanan Kuasa Elektrik, Pembinaan Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa di Muara Utara KTCC, Pembesaran KMI Kuala Terengganu, Pembesaran KMI Kuantan, serta Pembangunan infrastruktur di KSB (Custom Examination Area).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

