Pengunduran Anthony Loke: Protes politik jangan kaburi hormat terhadap institusi raja

Kenyataan media Anthony Loke melepaskan jawatan serta-merta hari ini. Gambar kecil: Mohd Afifi Abdul Razak
Kenyataan media Anthony Loke melepaskan jawatan serta-merta hari ini. Gambar kecil: Mohd Afifi Abdul Razak
A
A
A

HARI ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan perintah baharu bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman kes SRC International melalui tahanan rumah.

Keputusan itu menyusuli pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September, termasuk syarat pembayaran denda RM50 juta.

Seperti dijangka oleh banyak pihak, Anthony Loke telah melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan hari ini susulan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Tindakan Setiausaha Agung DAP ini menimbulkan satu persoalan besar, iaitu sejauh manakah seorang pemimpin yang menjadi sebahagian daripada pemimpin kerajaan boleh menjadikan pelaksanaan keputusan yang dibuat oleh satu institusi terpenting negara sebagai titik pencetus protes politik yang dramatik?

Isu berkenaan telah melalui proses pentadbiran undang-undang, penjelasan Peguam Negara dan penelitian mahkamah. Perbahasan mengenai keadilan hasilnya boleh diteruskan, tetapi asas perlembagaannya tidak boleh dipadamkan daripada perbincangan awam.

Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan dalam kerangka Raja Berperlembagaan. Kuasa tersebut bukan hiasan istiadat semata-mata tetapi adalah sebahagian daripada susunan institusi yang mesti difahami bersama peranan Lembaga Pengampunan, nasihat mengikut peruntukan berkaitan dan fungsi badan kehakiman.

Di sinilah tindakan Loke wajar menerima kritikan keras. Beliau tidak hanya mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju, malah beliau mengaitkan saat pengunduran daripada Kabinet dengan saat Najib menjejakkan kaki ke rumah.

Simbolisme itu disengajakan. Ia mengubah keputusan pengampunan dan pelaksanaan kehakiman menjadi latar kepada demonstrasi politik seorang anggota kerajaan.

Persoalannya ialah apakah mesej sebenar yang beliau mahu sampaikan kepada rakyat, pembelaan prinsip, atau gambaran bahawa sesuatu keputusan institusi itu hanya akan dihormati apabila ia adalah selari dengan pendirian partinya sahaja?

Artikel Berkaitan:

Perlu diakui bahawa Loke secara rasminya menyatakan bahawa DAP menghormati kuasa dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Beliau juga berhujah bahawa tahanan rumah kepada seseorang yang disabitkan dalam skandal rasuah besar boleh menghantar mesej tidak baik mengenai akauntabiliti.

Masa sama, cara protes tersebut dilakukan menunjukkan seolah-olah beliau tidak menghormati Raja-Raja Melayu. Perletakan jawatan ini boleh mengelirukan garis antara bantahan terhadap hasil keputusan dengan penghormatan kepada institusi yang menghasilkannya.

Kontroversi penternakan babi di Selangor menunjukkan betapa mudah garis ini menjadi kabur.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Januari dan Februari 2026 menyuarakan kebimbangan terhadap pencemaran udara, tanah dan sungai serta kesan kepada penduduk.

Baginda kemudian menegaskan supaya kegiatan penternakan itu dihentikan di Selangor. Kebimbangan mengenai sumber air, kepadatan penempatan dan keharmonian masyarakat bukan isu remeh yang boleh diketepikan sebagai sentimen politik.

Namun begitu, pada April 2026, ADUN DAP Seri Kembangan, Wong Siew Ki, meminta kerajaan negeri mempertimbangkan penternakan moden dan membangkitkan persoalan kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan.

Cadangan ADUN DAP ini mengundang kritikan keras kerana ia dikemukakan selepas pendirian tegas Sultan mengenai isu ini telah dizahirkan. Dari sudut politik, kepekaan masa dan cara hujah dibawa sama penting dengan kandungan hujah.

Wakil rakyat berhak membahas dasar awam, tetapi kebebasan itu datang bersama tanggungjawab memahami keresahan masyarakat dan wibawa institusi negeri.

Pada Mei pula, bekas ahli Parlimen DAP, Tony Pua, mempertahankan tafsiran bahawa kuasa Raja-Raja Melayu dibatasi oleh Perlembagaan dan titah tidak semuanya mempunyai kesan perundangan yang mengikat.

Pandangan tersebut mencetuskan bantahan, termasuk dakwaan bahawa beliau tidak sensitif terhadap institusi diraja.

Kedua-dua Peristiwa Selangor dan pengunduran Loke mempunyai persamaan dari segi risiko komunikasi. Apabila seseorang pemimpin mendahulukan isyarat konfrontasi, penjelasan perlembagaan yang lebih teliti mudah tenggelam.

Walaupun kedua-duanya tidak boleh digabungkan secara automatik menjadi bukti suatu dasar rasmi DAP untuk menentang institusi beraja tetapi kedudukan Loke selaku Setiausaha Agung DAP khasnya menyebabkan persepsi begitu menjadi kuat.

Terdapat juga persoalan akauntabiliti politik yang jarang disentuh. Loke memaklumkan bahawa menteri dan timbalan menteri DAP yang lain kekal dalam kerajaan, sedangkan beliau berundur sebagai isyarat bantahan parti.

Jika keputusan tahanan rumah dianggap begitu mendasar sehingga memerlukan protes Kabinet, mengapakah protes itu terhad kepada seorang menteri? Mengapa bukan Nga Kor Ming yang pertama sekali berjanji sedemikian tidak turut meletakkan jawatan Menteri?

Sebaliknya, jika kesinambungan pentadbiran menjadi keutamaan, mengapakah jawatan kementerian dijadikan simbol pertikaian yang berlaku di luar bidang pengangkutan?

Pertanyaan ini tidak menafikan hak seseorang meletakkan jawatan, tetapi menuntut penjelasan tentang keseragaman prinsip yang diangkat atas nama parti.

Menjelang pengundian dalam Pilihan Raya Negeri Melaka pada 14 November ini, perdebatan ini wajar menjadi ujian lebih luas terhadap kematangan politik semua parti.

Rakyat berhak meminta setiap calon dan gabungan menjelaskan pendirian masing-masing tentang kuasa pengampunan, kedaulatan undang-undang, rasuah, keharmonian antara kaum dan penghormatan terhadap Raja Berperlembagaan.

Jika jelas sesebuah parti membuat tindakan yang menunjukkan ia tidak menghormati Raja-Raja Melayu walaupun mendakwa di sebaliknya maka parti tersebut wajar ditolak oleh pengundi Melaka khasnya dan oleh rakyat Malaysia amnya.

Walau apa pun, pengajaran paling nyata di sini ialah ketegasan prinsip tidak sepatutnya diukur melalui kemeriahan peletakan jawatan, sebaliknya melalui konsistensi dalam menghormati proses perlembagaan walaupun keputusan politiknya tidak menyebelahi kita.

Anthony Loke boleh sahaja mempertahankan bantahannya terhadap tahanan rumah Najib tetapi beliau juga perlu menjawab sama ada cara protes itu dilakukan boleh memperkukuhkan keyakinan rakyat kepada institusi negara atau sekadar memperdalamkan lagi perpecahan yang sudah terlalu lama membebankan Malaysia.

*** Mohd Afifi Abdul Razak ialah felo Future Research dan penganalisis politik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!