PPZ-MAIWP perkenal aplikasi baharu MyZakat 4.0

PUSAT Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memperkenalkan MyZakat 4.0, iaitu versi terbaharu yang dipertingkatkan bagi memberikan pengalaman pembayaran zakat lebih lancar, mesra pengguna dan menyeluruh.
Tampil dengan slogan ‘Aplikasi Ibadah Anda’, ia bukan sekadar platform untuk menunaikan zakat semata-mata, malah turut menghimpunkan ibadah wakaf dan ibadah harian dalam satu perkhidmatan yang lebih mudah, kemas dan mesra pelanggan.
MyZakat 4.0 turut melangkaui fungsi pembayaran zakat dengan pengenalan ciri baharu, iaitu MyWakaf yang membolehkan pengguna membuat sumbangan wakaf secara terus kepada projek-projek yang disenaraikan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan berkata, perkembangan teknologi masa kini menuntut pihaknya untuk terus bergerak seiring dengan keperluan pengguna yang mahukan perkhidmatan lebih mudah, cepat dan boleh dicapai pada bila-bila masa.
“Penambahbaikan MyZakat 4.0 ini didorong oleh sambutan dan keyakinan masyarakat yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan digital PPZ-MAIWP.
“Ketika mula diperkenalkan pada tahun 2021, kutipan melalui aplikasi MyZakat hanya sekitar RM876,000. Alhamdulillah, jumlah tersebut terus berkembang sehingga RM21.9 juta pada tahun 2025.
“Perkembangan ini bukan sekadar menggambarkan peningkatan dari sudut kutipan, malah mencerminkan perubahan cara masyarakat menunaikan zakat,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan aplikasi berkenaan di Wisma PPZ di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohammed berkata, dalam membangunkan perkhidmatan berkenaan, perhatian utama diberikan kepada pengalaman pengguna.
Ujarnya, setiap proses diteliti dan dipermudah supaya urusan zakat dapat dilakukan dengan lebih lancar tanpa melalui langkah yang berulang atau merumitkan.
“Sebagai contoh, pengguna baharu tidak lagi diwajibkan untuk mendaftar menerusi sistem Zakat2u terlebih dahulu, sebaliknya pendaftaran akaun kini boleh dilakukan secara terus dalam aplikasi.
“Bermula daripada pendaftaran akaun, pembayaran zakat hingga semakan rekod transaksi, keseluruhan proses telah disusun semula agar lebih ringkas, teratur dan mudah digunakan,” katanya.
Tambah beliau, bagi menyokong fungsi tersebut, aplikasi ini diintegrasikan dengan modul EzyPayz untuk pemprosesan bayaran, RePayz bagi pengurusan transaksi berulang serta MyResit bagi penyimpanan rekod rasmi untuk tujuan rujukan dan rebat cukai pendapatan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa MyZakat 4.0 menghimpunkan tiga komponen utama merangkumi ibadah zakat, wakaf dan harian bagi memenuhi keperluan pengguna dalam satu aplikasi.
“Menerusi ciri MyWakaf juga, pengguna kini boleh menunaikan ibadah wakaf dengan mudah. Manakala menerusi fungsi MyAmal, kita menyediakan kemudahan al-Quran digital, waktu solat, arah kiblat, doa-doa harian dan tasbih digital.
“Hasrat kita sangat jelas, kita mahu MyZakat 4.0 menjadi teman setia yang memudahkan urusan ibadah harian setiap umat Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammed berkata, PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan antara RM30 juta hingga RM40 juta pada tahun depan susulan penambahbaikan dan pengenalan ciri baharu aplikasi berkenaan.
Selain itu, beliau turut menjangkakan pembayaran zakat secara digital akan menjadi saluran utama berbanding kaedah fizikal susulan semakin ramai pengguna memilih kaedah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

