Habis bekalan makanan, 40 pekerja asing kebuluran

Petugas Mahar menyalurkan bantuan makanan kepada sebahagian daripada 40 warga asing yang dilaporkan kebuluran di Sungai Buloh, minggu lalu.
Petugas Mahar menyalurkan bantuan makanan kepada sebahagian daripada 40 warga asing yang dilaporkan kebuluran di Sungai Buloh, minggu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) berjaya menyelamatkan 40 warga asing yang kebuluran di Sungai Buloh di sini susulan kehilangan punca pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada minggu lalu.

Ketua Perhubungan Media Mahar, Mohd Sufian Said berkata, pihaknya menerima maklumat menyatakan terdapat sekumpulan pekerja warga asing dari Indonesia dan Bangladesh kehabisan bekalan makanan sejak tiga hari akibat tidak dapat bekerja.

Menurutnya, kumpulan terdiri 40 orang itu merupakan pekerja buruh rendah yang menerima gaji harian atau mingguan di mana ada antara mereka yang sudah berkeluarga.

“Setibanya di sana, kami terkejut mendapati mereka sudah kehabisan bekalan makanan dan ada yang kebuluran tidak makan selama tiga hari susulan tidak dapat bekerja sepanjang PKP dengan wang simpanan juga habis.

“Lebih malang, kumpulan warga asing ini memaklumkan tidak menerima sebarang bantuan ihsan daripada majikan yang langsung tidak mempedulikan mereka sejak bermulanya PKP.

“Prihatin dengan nasib mereka, Mahar menyalurkan bantuan barangan makanan bernilai RM50 hingga RM70 seorang,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mohd Sufian berkata, Mahar cuba menghubungi majikan mereka untuk memaklumkan keadaan menyedihkan pekerja-pekerja warga asing terbabit, namun gagal dijawab.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sufian
Mohd Sufian

“Bagaimanapun, apabila kami mengugut untuk melaporkan insiden kemanusiaan itu kepada pihak berkuasa, barulah mereka memberi maklum balas dan berjanji akan membantu pekerja-pekerja berkenaan.

“Bagi Mahar, kita akan mendapatkan kerjasama pihak kedutaan negara masing-masing untuk menolong warga asing teraniaya berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sufian menegaskan Mahar turut menyediakan sumbangan 120 pek makanan yang dimasak sendiri ahli pertubuhan itu bagi diedarkan kepada golongan kurang pendapatan sekitar kawasan Lembah Klang.

Menurutnya, aktiviti itu turut mendapat kerjasama sebuah lagi NGO dengan pemberian bungkusan makanan kepada golongan sasaran akan dilaksanakan secara berterusan setiap hari sepanjang PKP.

“Kita juga menyalurkan sumbangan pek makanan kepada lebih 10 pihak petugas barisan hadapan sekitar Lembah Klang sebagai penghargaan kepada komitmen mereka dalam menangani pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini,” katanya.

Sebahagian petugas Mahar bertungkus-lumus menyiapkan pek bungkusan makanan untuk diagihkan kepada golongan kurang berpendapatan sekitar Lembah Klang.
Sebahagian petugas Mahar bertungkus-lumus menyiapkan pek bungkusan makanan untuk diagihkan kepada golongan kurang berpendapatan sekitar Lembah Klang.