Ingkar titah Agong satu penderhakaan besar kepada Raja dan Negara

Hamzah
Hamzah
A
A
A

 

KUALA LUMPUR - Sebarang perlakuan ingkar, menafikan atau cuba meremehkan mana-mana titah Yang di-Pertuan Agong merupakan satu penderhakaan besar kepada Raja dan Negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua rakyat Malaysia mempunyai kewajipan menjunjung tinggi serta memartabatkan Institusi Yang di-Pertuan Agong dan institusi beraja sebagai lambang kedaulatan negara.

Menurutnya, perkara itu jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang perlu dihormati oleh semua pihak.

"Kerajaan atau mana-mana pihak juga mempunyai obligasi untuk menyempurnakan titah Yang di-Pertuan Agong yang dibuat mengikut lunas perundangan negara, termasuk perkara berkaitan pengampunan diraja, penangguhan atau peringanan hukuman di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

"Perlu ditegaskan, apa-apa perlakuan ingkar, menafikan atau cuba meremehkan mana-mana titah yang dizahirkan oleh Institusi Yang di-Pertuan Agong oleh mana-mana pihak adalah merupakan satu penderhakaan besar kepada Raja dan Negara," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN:‘Keluarga tidak dimaklumkan’- Rosmah kata tidak tahu dua wakil bayar denda RM50 juta Najib

Denda RM50 juta Najib: Pegawai khas, pemimpin UMNO muncul di kaunter bayaran mahkamah

Najib sudah bayar RM50 juta - Peguam

Artikel Berkaitan:

Dana sudah mencukupi, UMNO tutup Tabung Solidariti Najib

[VIDEO] Peguam ke Penjara Kajang serah perintah tahanan rumah Najib

Dua kenderaan Jabatan Penjara memasuki kediaman Najib

Kronologi keputusan tahanan rumah Najib

Anwar tidak setuju UMNO bayar denda RM50 juta bagi pihak Najib, rasuah tidak boleh dikompromi

AGC tangguh sementara pelaksanaan tahanan rumah Najib

Isu tahanan rumah Najib: Razlan dakwa wujud muslihat

Tangguh tahanan rumah Najib satu bentuk penderhakaan - Asyraf Wajdi

Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda bertitah, tidak sepatutnya timbul kekeliruan dalam mentafsir perintah berkenaan kerana keputusan yang diperkenankan itu jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan September lalu.

AGC dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.

Dalam pada itu Sultan Ibrahim bertitah, perintah pengampunan bersyarat ini adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap beliau.

Titah baginda, tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran dan tidak sepatutnya menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan.

Baginda bertitah, keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta, dibuat selepas Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya meneliti petisyen beliau pada 18 September 2026.

Sementara itu, Hamzah turut membangkitkan kontroversi Titah Adendum yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu dan mendakwa isu berkenaan seolah-olah berulang kembali.

Dalam pada itu, beliau berkata, prinsip berkaitan prerogatif pengampunan diraja turut diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam kes berkaitan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan prerogatif pengampunan diraja bersifat non-justiciable, iaitu tidak boleh dipersoalkan atau disemak oleh mana-mana pihak termasuk mahkamah.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan Anwar yang menyatakan tidak bersetuju secara peribadi berhubung perkara berkenaan.

"Sebagai pihak yang mendapat pengampunan diraja di bawah Perkara 42 selepas disabitkan kesalahan jenayah dan dihukum penjara, Anwar sepatutnya lebih memahami obligasi kerajaan untuk menyempurnakan titah Institusi Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Hamzah menegaskan kerajaan tidak boleh bersikap selektif dalam menghormati titah Yang di-Pertuan Agong kerana institusi itu merupakan tonggak kedaulatan negara.

Jelasnya, usaha memelihara kewibawaan dan kedaulatan Institusi Yang di-Pertuan Agong bukanlah pilihan politik, sebaliknya tanggungjawab Perlembagaan yang perlu dilaksanakan oleh setiap kerajaan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!