Dana sudah mencukupi, UMNO tutup Tabung Solidariti Najib

SHAH ALAM - UMNO mengumumkan kutipan dana menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu sudah mencapai sasaran dan mencukupi bagi membantu bekas Perdana Menteri itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya turut menyelesaikan semua urusan pembayaran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.
Sehubungan itu katanya, UMNO secara rasmi menutup akaun khas tabung berkenaan yang diwujudkan bagi menerima sumbangan orang ramai.
"Tiada lagi keperluan untuk meneruskan usaha mengumpul dana awam atau crowdfunding bagi tujuan berkenaan," katanya.
Sebelum ini, spekulasi Najib akan melunaskan denda RM50 juta bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah semakin kuat apabila beberapa individu termasuk pegawai khasnya, dilihat berlegar di kaunter pembayaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, seorang pegawai khas dan pemimpin UMNO serta peguam Najib, Farhan Muhammad Shafee dilihat berada di sekitar mahkamah berkenaan sejak jam 11.30 pagi.
Dipercayai proses pembayaran akan bermula dengan wakil bekas Presiden UMNO itu mendapatkan resit bayaran sebelum perintah pelepasannya dikeluarkan.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli parti dan orang ramai yang tidak putus-putus menghulurkan sumbangan sejak tabung itu diperkenalkan.
Parti itu juga menzahirkan kesyukuran kepada ALLAH SWT atas pencapaian kutipan dana berkenaan.
"UMNO ingin merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada ALLAH dan merakamkan ucapan penghargaan kepada ahli UMNO seluruh Malaysia dan orang ramai yang tidak putus-putus menyumbang ke dalam akaun yang disediakan sejak hari pertama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

