Kronologi keputusan tahanan rumah Najib

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selesai melunaskan denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai syarat pengampunan bersyarat bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Pembayaran itu diselesaikan UMNO di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.
Peguam Najib, Farhan Muhammad Shafee mengesahkan pihaknya sudah memperoleh perintah tahanan rumah daripada mahkamah dan akan menyerahkannya kepada Jabatan Penjara Malaysia untuk tindakan lanjut.
Berikut kronologi perkembangan keputusan tahanan rumah Najib:
29 Januari 2024 – Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengadakan mesyuarat ke-61 dan memutuskan pengurangan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
2 Februari 2024 – Keputusan pengurangan hukuman dan denda itu diumumkan kepada umum.
22 Disember 2025 – Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung Titah Adendum yang didakwa membenarkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah. Mahkamah memutuskan Titah Adendum berkenaan tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61.
29 Disember 2025 – Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan di Mahkamah Rayuan.
27 April 2026 – Najib menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung Titah Adendum berkenaan.
11 September 2026 – Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-63 diadakan di Istana Negara. Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat lembaga berkenaan yang akan diadakan kemudian.
18 September 2026 – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat ditetapkan. Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64.
19 September 2026 – Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan Jabatan Penjara Malaysia akan memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan tahanan rumah selepas menerima surat rasmi berhubung keputusan Lembaga Pengampunan.
21 September 2026 – Peguam Negara mengesahkan Najib masih belum menjelaskan denda RM50 juta dan perlu membuat pembayaran di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum proses tahanan rumah boleh diteruskan.
1 November 2026 – Peguam Negara sekali lagi mengesahkan Najib masih belum menjelaskan denda RM50 juta. Bagaimanapun, tiada tempoh khusus ditetapkan untuk pembayaran berkenaan.
4 November 2026 – Kediaman Najib di Langgak Duta, Kuala Lumpur kembali menjadi tumpuan susulan spekulasi beliau bakal dibenarkan menjalani tahanan rumah. Perkembangan itu turut mencetuskan perhatian terhadap usaha UMNO mengumpulkan dana bagi melunaskan denda berkenaan.
6 November 2026 – UMNO mengumumkan kutipan Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu sudah mencapai sasaran dan mencukupi. Parti itu turut mengesahkan semua proses pembayaran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selesai dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

