Denda RM50 juta Najib: Pegawai khas, pemimpin UMNO muncul di kaunter bayaran mahkamah

Beberapa individu termasuk pegawai khas Najib, seorang pemimpin UMNO dan peguam dilihat berada di kaunter pembayaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.
Beberapa individu termasuk pegawai khas Najib, seorang pemimpin UMNO dan peguam dilihat berada di kaunter pembayaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Spekulasi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melunaskan denda RM50 juta bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah semakin kuat apabila beberapa individu termasuk pegawai khasnya, dilihat berlegar di kaunter pembayaran Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, seorang pegawai khas dan pemimpin UMNO serta peguam Najib, Farhan Muhammad Shafee dilihat berada di sekitar mahkamah berkenaan sejak jam 11.30 pagi.

Ketika disapa media, Farhan hanya tersenyum apabila ditanya mengenai kehadirannya ke mahkamah.

"Selamat pagi semua," kata peguam.

Farhan (kanan) menuju ke kaunter pembayaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.
Farhan (kanan) menuju ke kaunter pembayaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dipercayai proses pembayaran akan bermula dengan wakil bekas Presiden UMNO itu mendapatkan resit bayaran sebelum perintah pelepasannya dikeluarkan.

Resit berkenaan dipercayai akan diserahkan kepada Jabatan Penjara Malaysia sebelum proses pelaksanaan perintah tahanan rumah dapat dilakukan.

Sejak Selasa lalu, timbul spekulasi Najib akan menjelaskan denda berkenaan bagi membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya belum menerima sebarang arahan daripada Najib berhubung perkara itu.

Menurutnya, barisan peguam juga tidak dapat menjangkakan sama ada pembayaran berkenaan akan dibuat dalam minggu ini.

Sebelum ini, Muhammad Shafee mengesahkan lokasi tahanan rumah yang dinyatakan dalam dokumen diperoleh ialah kediaman Najib di No. 11, Langgak Duta.

Pada Oktober lalu, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman memaklumkan bahawa Jabatan Penjara Malaysia telah memberikan penjelasan lanjut mengenai mekanisme tahanan rumah kepada Najib.

Pada 19 September lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Jabatan Penjara Malaysia dijangka menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Najib menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram serta satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!