Kerajaan rangka pelan pemulihan ekonomi

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan media sosial di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan media sosial di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri untuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang menyeluruh.

Menurutnya, pelan tersebut bertujuan memastikan aktiviti ekonomi dapat dibangkitkan semula dengan pantas selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

“Tumpuan pada masa ini adalah untuk mengenal pasti langkah dan inisiatif yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana serta mendorong keyakinan rakyat dan pelabur untuk menjana semula ekonomi negara.

“Antara inisiatif yang sedang dirangka ialah membina keupayaan dan kemahiran rakyat, menggalakkan perbelanjaan domestik, meningkatkan daya tahan industri termasuk PKS serta memupuk persekitaran pelaburan yang lebih positif untuk masa hadapan,” katanya dalam perutusan khas beliau yang disiarkan malam ini.

Menerusi perutusan tersebut, Muhyiddin turut berkata, PKP yang berakhir pada 28 April ini akan dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi iaitu sehingga 12 Mei 2020.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan akan turut menimbang untuk membuka beberapa sektor dan sub-sektor yang lain tertakluk kepada syarat-syarat ketat untuk menjamin syarikat terus berdaya saing dan para pekerja dapat terus bekerja dalam persekitaran yang selamat.

Garis panduan serta syarat-syarat yang terperinci akan diberikan kepada para pelabur dan sektor korporat untuk memulakan operasi masing-masing.

“Saya ingin memberikan sedikit bayangan, walaupun PKP mungkin akan dilanjutkan lagi selepas ini, syarikat-syarikat dalam sektor-sektor tertentu akan dibenarkan beroperasi, tertakluk kepada pematuhan syarat yang mementingkan keselamatan pekerja, penjarakan sosial dan kebersihan tempat bekerja,” kata Muhyiddin. - Bernama

Artikel Berkaitan: