Media penting satukan rakyat, elak isu kaum dan agama – Yuneswaran

Yuneswaran (duduk, tengah) bersama pengamal media sempena Majlis Hi-Tea Timbalan Menteri Perpaduan Negara Bersama Media di Hotel Dorsett Kuala Lumpur pada Selasa.
Yuneswaran (duduk, tengah) bersama pengamal media sempena Majlis Hi-Tea Timbalan Menteri Perpaduan Negara Bersama Media di Hotel Dorsett Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengamal media digesa terus memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini, khususnya dengan menyampaikan mesej perpaduan dan mengelakkan isu yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, kerjasama media penting bagi menyampaikan mesej perpaduan bukan sahaja daripada kementeriannya, malah jabatan berkaitan kepada masyarakat.

Beliau berkata, sepanjang hampir 11 bulan memegang jawatan itu, pihak media banyak membantu menyampaikan maklumat dan mesej perpaduan kepada rakyat.

Menurutnya, Kementerian Perpaduan Negara turut mewujudkan kempen 'Yuk Bersama Membina Negara Bangsa' bagi menggalakkan usaha membina perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Kita sepatutnya bergerak ke hadapan dan beralih daripada isu berkaitan 3R (kaum, agama dan institusi diraja) atau perkara lain yang boleh menggugat keharmonian serta perpaduan masyarakat,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Hi-Tea Timbalan Menteri Perpaduan Negara Bersama Media di Dorsett Hotel Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Yuneswaran berkata, perubahan ketara dapat dilihat menerusi Indeks Perpaduan mengikut negeri, selain berpandangan masyarakat umum sebenarnya lebih bersatu dan tidak terlalu mengambil tahu isu perpaduan seperti yang sering dibincangkan.

Menurutnya, komen segelintir pengguna media sosial berpotensi menggugat keharmonian masyarakat, justeru pemantauan terhadap unsur fitnah dan mesej yang boleh memecahbelahkan rakyat turut penting.

"Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga memainkan peranan memantau unsur berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, isu perpaduan tidak seharusnya disamakan secara menyeluruh dengan isu 3R kerana sebahagian isu yang timbul sebenarnya berkaitan dasar kerajaan, jurang ekonomi, sosial dan jenayah.

Menurutnya, jurang ekonomi bukan sahaja berlaku antara kaum, malah dalam kalangan kaum yang sama, manakala isu sosial dan jenayah pula kadangkala dikaitkan dengan kaum atau agama tertentu sehingga mencetuskan tanggapan perkauman.

“Padahal, itu adalah isu dasar, isu jenayah dan isu sivil. Kita perlu melihat perkara ini dari sudut undang-undang,” katanya.

Yuneswaran berkata, kementerian sepanjang tahun ini melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berkaitan Rukun Negara serta pembinaan negara bangsa, termasuk Minggu Perpaduan yang disifatkannya sangat berjaya.

Menurutnya, maklum balas masyarakat umum menunjukkan ramai memahami budaya dan agama di Malaysia serta kepentingan memahami dan menghormati antara satu sama lain.

"Perbezaan yang wujud dalam kalangan rakyat seharusnya diraikan sebagai sebahagian daripada identiti Malaysia yang berbilang kaum dan agama," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat bersama-sama meraikan pelbagai perayaan di negara ini, termasuk Deepavali, Krismas, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya yang bakal tiba.

Menurutnya, kementerian juga sentiasa mengalu-alukan pandangan serta cadangan masyarakat umum berhubung program dan aktiviti perpaduan yang boleh dilaksanakan.

Beliau turut menekankan kepentingan peranan institusi pendidikan dan golongan muda dalam usaha berkenaan, termasuk Tabika Perpaduan serta kelab Rukun Negara di institusi pengajian awam dan swasta.

"Pendekatan seluruh negara atau whole of the nation penting bagi memastikan perpaduan terus diperkukuh dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa," katanya.

Yuneswaran turut mengingatkan media supaya mengelakkan pelaporan yang mengaitkan sesuatu isu dengan kaum atau agama tertentu sekiranya perkara itu membabitkan tindakan individu.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu diberi ruang untuk mengambil tindakan sewajarnya tanpa menjadikan perbuatan seseorang sebagai gambaran terhadap sesuatu kaum atau agama.

Beliau menghargai kerjasama pengamal media dan serta seluruh anggota pejabatnya dan Jabatan Perpaduan Negara (JPN) dalam usaha menyampaikan mesej perpaduan serta menggalakkan rakyat meraikan keharmonian bersama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!