Kumpulan Suria KLCC meriahkan Deepavali di tiga pusat beli-belah

KUMPULAN Suria KLCC menyemarakkan sambutan Deepavali tahun ini menerusi pelbagai dekorasi berinspirasikan istana diraja India, persembahan kebudayaan dan ganjaran membeli-belah di tiga pusat beli-belah kendaliannya.
Sambutan yang berlangsung dari 23 Oktober hingga 11 November 2026 itu melibatkan Suria KLCC di Kuala Lumpur, Alamanda Shopping Centre di Putrajaya dan Mesra Mall di Kemasik, Terengganu.
Menampilkan gabungan seni tradisional India dan suasana perayaan penuh warna-warni, inisiatif itu turut memberi peluang kepada pengunjung tempatan serta pelancong menikmati kepelbagaian budaya Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Di Suria KLCC, Centre Court diubah menjadi Persada Istana India yang mempesonakan menerusi dekorasi diinspirasikan seni bina tradisional istana diraja India dari 23 Oktober hingga 11 November ini.
Antara tarikan utama ialah sepasang burung merak setinggi 10 kaki di pintu gerbang utama, selain skrin LED, elemen air dan sebuah pavilion yang dihiasi ukiran kekisi keemasan serta fabrik sutera berwarna-warni.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan tarian tradisional pada 1, 7 dan 8 November, selain menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan sepanjang kempen berlangsung.
Antaranya Bengkel Menghias Tart Kolam oleh Flaaah pada 31 Oktober serta 1, 8 dan 9 November, yang membolehkan peserta menghias Tart Kastard Masala Chai edisi terhad dengan corak berwarna-warni berinspirasikan kolam.
Peserta juga boleh menikmati diskaun eksklusif 20 peratus bagi pembelian satu kotak penuh tart di cawangan Flaaah.
Selain itu, Bengkel Gubahan Bunga Kertas Pleines Natures oleh Yves Rocher pada 31 Oktober serta 1, 7 dan 8 November memberi peluang kepada pengunjung menghasilkan gubahan bunga kertas sebelum melengkapkannya dengan semburan wangian terbaharu jenama berkenaan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan berkata, sambutan itu diinspirasikan daripada tradisi rumah terbuka Deepavali yang menekankan kemesraan, keterbukaan dan kebersamaan.
Menurutnya, pihaknya mahu mewujudkan suasana yang membolehkan pengunjung menikmati persembahan kebudayaan, menyertai aktiviti kreatif dan merakam kenangan bersama keluarga sebelum menjamu selera di premis berkenaan.
"Bagi ganjaran membeli-belah, pelanggan yang berbelanja RM1,000 dan ke atas menerusi dua resit layak menerima e-baucar membeli-belah Suria KLCC bernilai RM50, terhad kepada 300 penebusan pertama.
"Pelanggan yang membeli e-baucar membeli-belah Suria KLCC bernilai RM1,000 pula akan menerima e-baucar tambahan RM100, terhad kepada 20 pelanggan pertama," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Alamanda Shopping Centre menawarkan suasana perayaan yang berwarna-warni menerusi dekorasi kolam bercahaya dengan lampu tradisional dan gerbang perayaan dari 23 Oktober hingga 9 November ini.
Pengunjung juga berpeluang menyokong inisiatif kesedaran kesihatan mental Kumpulan Suria KLCC menerusi pembelian Green Ribbon Pin pada harga RM10 seunit, dengan dana hasil jualan disalurkan terus kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan mental.
Dari segi ganjaran, pelanggan yang berbelanja RM500 dan ke atas menerusi sehingga dua resit layak menerima e-baucar Alamanda bernilai RM30 berserta dua batang lilin wangi.
Bagi pelanggan yang berbelanja RM1,500 dan ke atas menerusi sehingga dua resit pula, mereka boleh menebus e-baucar bernilai RM80 serta sepasang lilin wangi.
Di Terengganu, Mesra Mall di Kemasik bakal meraikan Deepavali dari 1 hingga 10 November ini menerusi dekorasi berinspirasikan Persada Istana India di kawasan kaunter Concierge.
Gabungan motif tradisional, susunan bunga, warna-warni dan pencahayaan hangat bakal mewujudkan suasana perayaan yang mesra serta menampilkan keunikan budaya India.
Menerusi Program Ganjaran Pelanggan Mesra Mall, 100 pelanggan pertama yang berbelanja RM350 dan ke atas menerusi dua resit layak menebus baucar membeli-belah bernilai RM30.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
