Deepavali Kebangsaan 2026 sasar 10,000 pengunjung

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Deepavali Peringkat Kebangsaan 2026 yang bakal berlangsung di Little India, Brickfields pada 14 November ini menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, majlis pada Sabtu itu dijadualkan dirasmikan serta dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, pelbagai pengisian menarik sedang dipertimbangkan untuk memeriahkan sambutan berkenaan, termasuk elemen kebudayaan, persembahan artis tempatan dan pameran Rumah Malaysia.
"Bagaimanapun, tema program berkenaan masih dalam peringkat perbincangan dan penyusunan oleh pihak kementerian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hi-Tea Timbalan Menteri Perpaduan Negara Bersama Media di Dorsett Hotel Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau mewakili Kementerian Perpaduan Negara merakamkan penghargaan kepada pihak media atas kerjasama erat dalam membantu menyampaikan maklumat yang tepat serta memberi manfaat kepada masyarakat.
Sehubungan itu, beliau memohon agar rakan media terus memberikan sokongan padu dengan menyebarluaskan program anjuran Kementerian Perpaduan Negara demi memperkukuh perpaduan kaum di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

