UMK Tawar geran penyelidikan khas Covid-19

No Image Caption
A
A
A

BACHOK - Langkah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menawarkan geran penyelidikan khas bagi membantu merangka polisi atau dasar menghadapi senario kehidupan pasca Covid-19 menunjukkan perhatian serius kerajaan menangani virus itu.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr Arham Abdullah berkata, UMK melihat keputusan itu tepat pada masanya serta membuka peluang kepada institusi pengajian tinggi untuk menjalankan penyelidikan yang relevan kepada isu-isu terkini dan kritikal.

"Tawaran geran khas penyelidikan daripada KPT itu dijangka dapat merancakkan lagi kajian di samping meningkatkan semangat ramai penyelidik di universiti bagi membantu kerajaan membangunkan pelbagai inovasi yang kreatif untuk menangani virus Covid-19 pada masa akan datang.

“Penyelidikan perlu disokong dengan dana atau geran. UMK sendiri sudah menawarkan geran penyelidikan dalaman berkenaan isu COVID-19 bermula pada awal bulan Mac,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, UMK akan menyerahkan senarai cadangan penyelidikan pasca Covid-19 untuk dipilih oleh KPT pada penghujung bulan ini.

"Peluang ini perlu direbut penyelidik dan kakitangan universiti untuk menyerlahkan kepakaran dan inovasi penciptaan yang dapat membantu negara menangani pandemik Covid-19 di samping pada masa yang sama boleh dijadikan rujukan dunia.

"Menariknya di UMK, kakitangan bukan akademik juga turut terlibat dengan penyelidikan dan tawaran dana penyelidikan meliputi 20 bidang utama sebagai persediaan selepas tamat tempoh PKP akan dimanfaatkan.

"Bidang itu seperti kesannya terhadap kesihatan, ekonomi, keselamatan, pelancongan, perdagangan, teknologi maklumat, pendidikan dan keselamatan makanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai sumbangan yang diberikan kepada barisan hadapan termasuk hospital dan agensi keselamatan, Arham berkata setakat hari ini, UMK mengedarkan sebanyak 10,000 unit peralatan perlindungan diri (PPE).

"Selain itu, 3,000 botol pensanitasi tangan dan 2,000 unit pelindung muka yang dihasilkan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi serta Fakulti Sains Bumi juga sudah diedarkan.

“UMK juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan pertubuhan bukan kerajaan dalam pembangunan dan pengedaran produk ‘UMK Cares Covid-19 Kit’ ini,” katanya.

Katanya, UMK akan berkongsi beberapa inovasi terbaru dalam masa terdekat seperti V-Mobile Screening Booth, V-Buster Sterilization Box dan Safe Surface Disinfection Liquid sebagai persediaan untuk pelajar dan staf kembali ke kampus selepas tamat PKP. - Bernama