Semak semula dasar latihan industri KPT

KSM dan KPT harus bekerjasama bagi mencari penyelesaian terbaik permasalahan membabitkan kebajikan mahasiswa yang menjalani latihan industri. - Gambar hiasan.
KSM dan KPT harus bekerjasama bagi mencari penyelesaian terbaik permasalahan membabitkan kebajikan mahasiswa yang menjalani latihan industri. - Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu duduk semeja bagi meneliti semula Dasar Latihan Industri Negara 2010, termasuk perihal berkaitan imbuhan latihan, cuti rehat dan waktu jam berkhidmat.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, pertemuan itu amat penting dalam membincangkan permasalahan membabitkan kebajikan mahasiswa yang menjalani latihan industri.

Menurutnya, KSM dan KPT harus bekerjasama bagi mencari penyelesaian terbaik melalui tindakan pentadbiran serta mengguna pakai peruntukan undang-undang sedia ada.

“Ini termasuklah peruntukan khas Seksyen 3 terkait kuasa Menteri Sumber Manusia bagi memasukkan pelajar latihan industri dalam kategori ‘quasi-worker’.

“PKPIM memberi peringatan kepada syarikat-syarikat yang menggunakan khidmat pelatih industri agar memastikan kebajikan para pelatih terjaga daripada segi makan minum, waktu bekerja dan akses perlindungan sosial,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad, bersetuju supaya mahasiswa yang menjalani latihan industri atau ‘intern’ mendapat bayaran yang mencukupi.

Menurut Anwar, bayaran itu seharusnya melegakan mahasiswa yang terpaksa mengeluarkan wang untuk kos perjalanan dan makan minum sepanjang mereka melakukan latihan industri.

Tambah Ahmad Farhan, program latihan industri juga perlu ditambah baik dengan memperkenalkan Skim Latihan Industri Madani (SLIM).

Ujar beliau, ia adalah sebuah inisiatif latihan berterusan dan bersifat fleksibel serta memastikan kebajikan para mahasiswa terjaga.