Bicara kes saman sivil keluarga Altantuya bersambung Jun, Ogos

Bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev. (Gambar kecil: Altantuya)
Bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev. (Gambar kecil: Altantuya)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes saman sivil RM100 juta yang difailkan keluarga model Mongolia, Altantuya Shaariibuu berhubung kematiannya pada tahun 2006 dijadual diteruskan pada Jun dan Ogos tahun ini.

Peguam Sangeet Kaur Deo memberitahu, tarikh perbicaraan itu ditetapkan pada bulan Jun dari 22 hingga 25 dan pada Ogos bermula 10 hingga 13 di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan.

Sangeet berkata, setakat ini 12 saksi telah memberi keterangan dalam perbicaraan itu yang diadakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam di hadapan Hakim Vazeer sebelum beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Ogos 2019.

Pada 10 Oktober 2019, keluarga Altantuya menarik balik rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk mengguna pakai keputusan sabitan jenayah di Mahkamah Persekutuan berhubung kes pembunuhan model itu dalam saman sivil mereka.

Keluarga itu, bapa Altantuya Dr Shaariibuu Setev, ibunya Altantsetseg Sanjaa serta anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Oktober 2018, yang menolak permohonan mereka untuk menggunakan bukti dalam keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah mensabitkan dua anggota polis dalam pembunuhan itu dalam saman sivil RM100 juta mereka.

Keluarga Altantuya memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007 dengan mendakwa kematian model itu telah menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi serta menuntut ganti rugi termasuk tuntutan pergantungan.

Mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia sebagai defendan dalam saman itu.

Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada tahun 2006. Dia dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2008 di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri sementara Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada tahun 2009.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada pertuduhan namun pembebasan mereka dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 berikutan rayuan pendakwaan.

Pada 5 Disember tahun lepas, Azilah yang sedang menunggu hukuman mati di Penjara Kajang memfailkan permohonan semakan semula sabitan dan hukuman mati terhadapnya serta memohon supaya diadakan perbicaraan semula. - Bernama