Tiga lagi kematian baharu direkodkan hari ini

Dr Noor Hisham ketika bercakap pada sidang media di sini hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Noor Hisham ketika bercakap pada sidang media di sini hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah kumulatif kematian akibat wabak koronavirus (Covid-19) meningkat kepada 92 orang selepas tiga lagi kematian direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketiga-tiga kematian baharu itu melibatkan warganegara Malaysia berumur 50 tahun ke atas serta mempunyai latar belakang penyakit kronik.

"Kes kematian ke-90 (kes 2,050) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 72 tahun. Mangsa adalah ibu kepada kes ke-2053 (yang turut mempunyai gejala pada hari sama).

"Kes kematian ke-91 (kes 4,090) pula merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

"Bagi kematian ke-92 (kes 5,332) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 92 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dementia. Mangsa mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-471," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 57 kes baharu yang telah direkodkan hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,482 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 2,041 kes.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan telah discaj daripada wad meningkat kepada 3,349 kes apabila terdapat 54 kes lagi yang telah pulih hari ini," katanya.

Artikel Berkaitan: