Indonesia pertimbang henti eksport gas ke negara jiran

Bahlil - Foto: AFP
Bahlil - Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Indonesia mempertimbangkan untuk tidak memperbaharui kontrak eksport gas ke negara jiran bagi memastikan bekalan tenaga dalam negara mencukupi ketika berdepan ketidaktentuan global.

Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia berkata, langkah tersebut merupakan antara pilihan kerajaan dalam memperkukuh keselamatan tenaga nasional.

Menurut laporan detikFinance, Bahlil menjelaskan bahawa kepentingan rakyat dan keperluan industri tempatan perlu diutamakan sebelum bekalan gas dieksport ke luar negara.

"Saya mungkin mempertimbangkan untuk tidak memperbaharui kontrak eksport gas ke negara jiran kerana kita perlu bertahan dan memenuhi keperluan dalam negara terlebih dahulu," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Kabinet Penuh di Istana Presiden, Jakarta pada Rabu.

Menurutnya, langkah itu selaras dengan arahan Presiden Prabowo Subianto yang menegaskan kepentingan Indonesia mempertahankan sumber asli dan kekayaan negara.

"Kita memang perlu bertahan. Sebagai pegawai kerajaan, semua kementerian mesti mampu menterjemahkan arahan Presiden kepada pelaksanaan program bagi memastikan negara terus bertahan," katanya.

Bahlil turut menegaskan bahawa setiap kementerian perlu bertindak pantas dalam melaksanakan dasar kerajaan, namun tetap mematuhi peraturan dan undang-undang.

"Kerja mesti cepat, pelaksanaan juga perlu pantas, jangan berlengah, tetapi mesti mengikut peraturan dan tidak melanggar undang-undang," ujarnya.

Terdahulu, Prabowo mengingatkan anggota Kabinet bahawa Indonesia perlu melindungi sumber asli negara ketika berdepan tekanan global.

Artikel Berkaitan:

"Kita sekarang berada dalam keadaan perlu bertahan. Kita mesti menyelamatkan kekayaan dan sumber asli kita.

"Ia ibarat darah dalam tubuh. Jika darah terus mengalir keluar, mustahil tubuh dapat bertahan," katanya.

Sementara itu, laporan Bisnis Indonesia menyebut beberapa industri tempatan termasuk sektor seramik dan kaca berdepan tekanan akibat kekurangan bekalan gas sehingga menjejaskan pengeluaran.

Keadaan tersebut meningkatkan kebimbangan terhadap kelangsungan operasi industri, kos pengeluaran dan peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, Bahlil belum mengumumkan keputusan muktamad mengenai kontrak eksport gas yang terlibat atau menamakan negara jiran yang mungkin terjejas.

Cadangan itu setakat ini masih dalam pertimbangan dan tidak bermaksud Indonesia telah menghentikan eksport gas sedia ada. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!