Rakan beli tilapia milik Akmal Saleh RM100 seekor, infak kepada penduduk Merlimau

SHAH ALAM - Keprihatinan rakan-rakan membeli ikan tilapia milik Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, kemudian meminta penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu infak kepada golongan memerlukan di kawasannya mengundang perhatian ramai.
Dr Muhamad Akmal berkata, tiada kata-kata mampu diucapkan selain ucapan terima kasih.
Beliau mengakui terharu atas kesudian rakan, kenalan dan orang awam membantunya mengumpul wang bagi membayar ganti rugi serta kos mahkamah berjumlah RM300,000.
"Tidak mampu saya ucapkan satu persatu, hanya ucapan terima kasih yang tidak terhingga daripada diri ini.
"Terima kasih sekali lagi," katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Dr Muhamad Akmal turut memuat naik beberapa tangkap layar perbualan dengan kenalannya yang ingin membantu dengan membeli ikan tilapia pada harga RM100 seekor.
Bagaimanapun, individu berkenaan meminta supaya ikan yang dibeli itu diinfakkan kepada rakyat Merlimau.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Dr Muhamad Akmal menawarkan motosikal jenis Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya untuk dibida.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan kewangannya termasuk simpanan sedia ada yang masih belum mencukupi untuk menjelaskan ganti rugi keseluruhan berjumlah RM300,000.
Dr Muhamad Akmal turut menghargai cadangan orang ramai untuk membuka tabung sumbangan bagi membantunya, namun memilih untuk mengusahakan penjualan aset miliknya terlebih dahulu.
Pada Isnin lalu, beliau diperintahkan membayar ganti rugi keseluruhan RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berhubung kes saman fitnah yang difailkan pada 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
