Op Selamat: 656 kemalangan, 17 kematian direkodkan di Pahang

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 656 kemalangan direkodkan di Pahang membabitkan 17 kematian sepanjang Op Selamat 20 sempena Aidilfitri bermula 20 hingga 27 April lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, terdapat peningkatan sebanyak 21.4 peratus kematian direkodkan berbanding 14 kematian pada tahun lalu.

"Analisis menunjukkan kemalangan maut berlaku di kawasan yang bukan dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan.

"Kita dapati, kemalangan lebih banyak berlaku di jalan biasa dan jalan kampung iaitu sebanyak 13 kes," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau memaklumkan, sebanyak 2,300 saman turut dikeluarkan pihak polis atas pelbagai kesalahan sepanjang Op Selamat 20 berlangsung.

Tambahnya, selain itu, 10 tangkapan telah dibuat membabitkan individu yang memandu secara melulu dan merbahaya.

"Kita juga mengesan individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol, menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kesalahan di bawah Akta Racun 1952," katanya.

Ujar Ramli, operasi kali ini melibatkan 378 petugas dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), keselamatan, komuniti serta tugas am dalam kontinjen Pahang.

Menurutnya, pendekatan dalam pelaksanaan Op berjalan lancar dengan mengatur gerak elemen JSPT, Unit Kereta Peronda (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam memastikan aliran lalu lintas dijalan utama dapat ditangani dengan cekap.

"Kita menitikberatkan aspek keselamatan pengguna jalan raya terutamanya ketika musim perayaan.

"Jadi, kita akan memastikan kelancaran trafik dan melaksanakan op lancar bagi menentukan kesesakan di jalan utama dapat diredakan," katanya.