X

Kindly register in order to view this article
!

Polis sahkan Ahli Parlimen Batu ditahan kerana langgar PKP

P Prabakaran
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan penahanan dua lelaki termasuk Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran kerana dipercayai melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Taman Sri Murni di sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dua lelaki berusia 24 dan 40 tahun itu ditahan di lokasi berkenaan kerana melanggar PKP berhampiran kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Siasat lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 (Akta 342).

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Batu dakwa ditahan polis ketika buat tinjauan

"Bagaimanapun Prabakaran telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar di Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Batu itu mendakwa ditahan pihak polis ketika melakukan tinjauan di Taman Sri Murni di sini hari ini.

Kenderaan yang dinaiki Prabakaran dilihat diiringi kereta peronda polis (MPV) untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul jam 4.45 petang semalam.

Sebelum itu, Prabakaran sempat mengadakan sidang media di lokasi mengenai situasi PKPD di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Santhara menafikan dakwaan Prabakaran ditahan polis selepas berlaku pertelingkahan antara mereka semalam.

Sebaliknya dakwa beliau, insiden berkenaan bermula apabila Prabakaran secara tiba-tiba masuk ke dalam bilik mesyuarat di sekitar Taman Sri Murni di Selayang dan mengganggu mesyuarat sulit dihadiri 20 individu termasuk Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Panglima 12 Briged Infantri, Brigadier Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar bagi membincangkan isu keselamatan.

Beliau berkata, pihaknya memanggil Prabakaran masuk semula selepas 15 minit, namun Ahli Parlimen Batu itu tidak berbuat demikian, sebaliknya memilih untuk membuat siaran langsung Facebook di luar bilik mesyuarat dengan memberi maklumat didakwa fitnah dan mengelirukan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!