'Saya selalu rasa cantik setiap kali pakai baju kerja' - Anis bangga jadi pekerja pembersihan

SEREMBAN - Ketika sebahagian anak muda seusianya masih memilih pekerjaan, Anis Maisarah Fauzi pula tidak kisah bekerja sebagai pekerja pembersihan.
Malah, belia berusia 24 tahun itu tidak pernah sekalipun berasa malu dengan pekerjaan yang dilakukannya, sebaliknya bangga mengenakan pakaian seragam mereka.
Menurutnya, dia mula bekerja sebagai pekerja pembersihan di bangunan Kementerian Dalam Negeri di Kedah sejak berusia 18 tahun selepas menamatkan persekolahan.
"Saya memang minat bidang ini. Lagi pun saya kurang pandai dalam akademik dan tidak sambung belajar di mana-mana.
"Saya pun tidak kisah kerja apa pun asalkan halal dan ia cukup untuk saya menyara diri," katanya kepada Sinar Harian.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, dia bersama rakan sekerja mula bertugas seawal jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang.
Jelasnya, setiap aras bangunan dikendalikan dua pekerja yang menjalankan tugas antaranya membersihkan tandas, laluan sekitar dan ruang pejabat.
"Bila saya buat kerja-kerja pembersihan ini, saya rasa gembira dan tenang serta puas apabila tengok semuanya dalam keadaan bersih," katanya.

Anis Maisarah yang masih bujang berkata, dalam kalangan rakan sekerjanya, dia merupakan pekerja paling muda.
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak pernah membuatkannya berasa rendah diri dan tidak berhasrat mencari pekerjaan lain buat masa ini.
"Pernah orang luar tanya saya kenapa tidak sambung belajar kerana katanya saya masih muda.
"Tapi saya beritahu, saya okey dengan kerja yang dilakukan sekarang dan gaji yang saya dapat pun mencukupi selain persekitaran kerja yang menyeronokkan," katanya.

Tambahnya, pekerjaan dalam bidang pembersihan merupakan pekerjaan yang mulia dan berharap ia boleh menjadi saham akhiratnya kelak.
Dalam pada itu, Anis Maisarah tidak menyangka perkongsian gambarnya memakai pakaian kerja dengan keterangan, 'saya selalu rasa cantik setiap kali pakai baju kerja walaupun sebagai cleaner' di akaun Threads mendapat pelbagai reaksi.
"Saya sebenarnya kongsi gambar itu secara spontan, tapi tidak sangka pula ramai yang komen dan beri kata-kata positif.
"Sejak itu saya tengok ramai pekerja pembersihan lain turut tampil berkongsi gambar mereka," katanya.
Bagi menambah pendapatan, Anis Maisarah turut melakukan kerja sampingan sebagai ejen pemasaran atau affiliate di TikTok.
Beliau turut berpesan kepada golongan muda supaya tidak terlalu memilih pekerjaan, sebaliknya merebut peluang mencari rezeki yang tersedia selagi pekerjaan itu halal.
"Bagi saya, kita tidak boleh memilih sangat. Ambil saja peluang rezeki yang ada di depan mata.
"Dengan keadaan kehidupan dan ekonomi sekarang, kerja apa pun tidak kisah asalkan rezeki itu halal dan gajinya okey," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

