Pengsan ketika bantu anak siapkan kerja sekolah, Wan Ahmad Fayhsal kini stabil

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kini berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurut pentadbir akaun Facebook Wan Ahmaf Fahysal, sebarang perkembangan berkenaan keadaan beliau akan dimaklumkan.
"Jutaan terima kasih kepada semua yang mendoakan," katanya pada Rabu.
Sebelum ini, Wan Ahmad Fayhsal dikejarkan ke HKL bagi menerima rawatan kecemasan.
Pejabat Ahli Parlimen Machang dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa beliau kini dimasukkan ke wad hospital berkenaan untuk menerima rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.
Menurut kenyataan itu, doktor turut menasihatkan Wan Ahmad Fayhsal supaya berehat sehingga pulih sepenuhnya.
Terdahulu dilaporkan Wan Ahmad Fayhsal berkata, kejadian berlaku ketika beliau membantu menyiapkan tugasan sekolah anaknya sebelum pengsan sehingga 6 petang tadi.
"Pada awal pagi tadi, ketika saya siapkan latihan kerja sekolah anak, tiba-tiba saya tidak sedarkan diri sama sekali sampailah jam 6 petang.
"Saya kini berada di HKL untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan mengejut (kecemasan). Insya-ALLAH saya akan melalui ujian CT Scan (imbasan Tomografi Berkomputer)" katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

